Misteri Kelibat Hantu Di Kellie’s Castle

LAGI seram dan menggerunkan sesuatu tempat atau lokasi itu, bertambah ramai orang berkunjung untuk merasai sendiri pengalaman ‘bertemu’ hantu atau entiti paranormal yang dicanang sekali gus menjadikan destinasi berkenaan produk pelancongan popular berteraskan pengembaraan serta misteri.

Bagi mereka yang ingin merasai situasi itu, Kellie’s Castle di Batu Gajah, Perak, antara destinasi wajib kunjung terutama dalam kalangan pelancong asing.

Walaupun menyeramkan dan dikaitkan dengan kisah mistik, lokasi itu mampu menarik minat pelancong untuk terus meneroka apa yang ada dalam rumah agam separuh siap ditinggalkan lebih 100 tahun itu.

Pun begitu, populariti Kellie’s Castle terus memuncak dalam kalangan penggemar atau pelancong paranormal gara-gara filem pecah panggung, Munafik 2 arahan Syamsul Yusof yang menjalani penggambarannya di lokasi berkenaan.

Ini sekali gus berjaya dengan jumlah kutipan sehingga RM48 juta selepas ditayangkan di empat negara – Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Jika sebelum ini hanya pelancong asing yang kerap bertandang ke Kellie’s Castle, namun sejak akhir-akhir ini, pengunjung domestik menunjukkan jumlah kehadiran memberangsangkan lebih-lebih lagi selepas Munafik 2 selesai tayangannya di pawagam.

Jumlah peningkatan pengunjung ke tempat ini terutama pada hujung minggu diakui Penyelia Operasi Kellie’s Castle, Yuriz Talha dan melahirkan rasa bangga dengan kehadiran pelancong domestik yang rata-rata ditemuinya, ingin melihat sendiri lokasi pembikinan Munafik 2 apabila hampir 60 peratus filem berkenaan memaparkan seni bina luaran dan dalaman rumah agam berkenaan.

Suasana persekitaran Kellie’s Castle memang menyeramkan. Penulis pernah dibawa masuk ke bilik linen iaitu tempat tukang dobi dari Madras, Mr Gopal pernah bertugas di situ. Tak sanggup berada lama di lokasi berkenaan kerana tidak semena-mena meremang bulu roma.

Bersebelahannya ialah bilik anak perempuan Smith, Helen. Menurut Yuriz, di situlah beberapa pengunjung sebelum ini pernah terdengar suara kanak-kanak perempuan sedang menangis terutama menjelang waktu petang.

Difahamkan, sekitar jam 5.30 petang hingga jam 7.30 malam dan 2 pagi hingga jam 3 pagi adalah ‘waktu puncak’ hantu Kellie’s Castle keluar berpeleseran mencari mangsanya.

Sama ada benar atau tidak fakta berkenaan, tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana belum ada yang berani cuba masuk ke Istana Kellie pada waktu berkenaan.

Yuriz juga menceritakan pengalaman sepasang suami isteri dari Kanada yang pernah berkunjung ke Rumah Kellas pada waktu malam untuk merakam gambar kelawar.

“Selesai sesi penggambaran di tengah malam, isterinya ternampak kelibat atau imej misteri seorang lelaki berdiri sambil termenung di tepi tingkap. Kononnya entiti paranormal berkenaan adalah jelmaan hantu William Kellie Smith.

William Kellie Smith.

“Gara-gara kisah misteri berkenaan, sehingga hari ini, Kellie’s Castle dikunjungi ramai pelancong dari negara Barat, terutama England,” katanya.

Manakala lokasi dinamakan Balkoni Serambi Berhantu yang terletak bersebelahan bilik Helen dan kamar tidur Smith dan isterinya, Agnes, dikhabarkan menjadi tempat paling ‘keras’ di dalam rumah agam berkenaan.

Lokasi terbuka berhampiran pokok besar itu menjadikan kawasan berkenaan berangin dan sekali-sekala mampu meremangkan bulu roma sekalipun pada waktu siang.

Kunjungan pelancong ke Kellie’ Castle bukan bertujuan memomokkan pengunjung bahawa istana ini berhantu, jauh sekali memesongkan akidah. Sebaliknya, memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman unik dan keadaan seram apabila berada dalam rumah agam berkenaan dalam situasi selamat serta terkawal.

Sekiranya bernasib baik, pengunjung bolehlah terserempak dengan entiti paranormal yang kononnya berkeliaran di situ.

Kellie’s Castle turut dikenali sebagai Rumah Kellas (Kellas House)

FAKTA NOMBOR

* 70 peratus

Kellie’s Castle

sempat disiapkan

* 14

jumlah bilik

Istana Kellie

* 70

bilangan buruh dari

Madras ketika pembinaan

* 500

anggaran kedatangan

pelancong pada hujung minggu

INFO

Kellie’s Castle

* Turut dikenali sebagai Rumah Kellas (Kellas House) mula dibina peladang getah terkemuka dari Britain, William Kellie Smith pada 1910

* Smith memulakan rancangan membina Kellas House sempena nama rumahnya di Scotland, namun lebih dikenali sebagai Kellie’s Castle

* Batu-bata dilekat menggunakan bancuhan campuran putih telur itik, pasir, kapur, gula merah dan madu, tiada besi atau paku digunakan

* Bangunan tiga tingkat ini diilhamkan mengikut reka-bentuk istana Moghul di Agra, India, manakala jubin dindingnya diimport dari Itali

BATU­-BATA dilekat menggunakan bancuhan campuran putih telur itik, pasir, kapur, gula merah dan madu, tiada besi atau paku digunakan.

Sejarah pembinaan

* Smith bersama pemilik hartanah, Alma Baker memenangi konsesi untuk meneroka 360 hektar hutan di Batu Gajah, Perak

* Menerusi keuntungan yang diperoleh, Smith membuka ladang getah dan lombong bijih timah dikenali Syarikat Perlombongan Timah Kinta

* Smith kembali ke England lalu berkahwin dengan gadis Scotland, Agnes. Beliau membawa isterinya kembali ke Tanah Melayu pada 1903, lalu dikurniakan anak perempuan, Helen

* Agnes melahirkan anak lelaki, Anthony pada 1915. Kelahiran Anthony membawa keuntungan berlipat ganda dalam empayar perniagaan bapanya

* Bagi meraikan kelahiran Anthony, Smith bercadang meluaskan lagi rumah yang didudukinya dikenali sebagai Rumah Kuning dibina ketika mula berhijrah ke Tanah Melayu pada 1890

* Bersebelahan Rumah Kuning ada sebuah rumah kayu atau rumah asal Smith ketika bujang, namun kini hanya tinggal tapak saja selepas dibom tentera Jepun

* Buruh binaan Kellie’s Castle dibawa dari Madras, India. Istana Kellie mempunyai kamar tidur termasuk bilik linen, bacaan, fotografi, simpanan arak dan bilik bawah tanah yang dilengkapi terowong rahsia serta kemudahan lif. Di aras dua bangunan pula dibina padang tenis berlantaikan simen

* Kellie’s Castle tidak sempat disiapkan apabila Smith meninggal dunia di Pelabuhan Lisbon, Portugal pada 11 Disember 1926 kerana dijangkiti radang paru-paru. Perniagaan Smith merosot apabila 70 pekerjanya dari India mati dijangkiti selesema Spanish.

* Agnes pulang ke England apabila Anthony terkorban dalam pertempuran ketika Perang Dunia Pertama, manakala Helen pula tiba-tiba menghilangkan diri.

* Semua anggota keluarga Smith tidak mati di dalam bangunan separuh siap itu. Mereka hanya sempat mendiami Rumah Kuning saja (bersebelahan Kellie’s Castle)

* Struktur bangunan Kellie’s Castle kekal hingga hari ini dalam keadaan separuh siap atau masih dalam pembinaan.

* Namun menjadi tarikan pengunjung ke Batu Gajah, Perak kerana keunikannya, selain rumah agam itu dikatakan ‘keras’ atau berhantu

* Banyak fakta misteri mengenai Kellie’s Castle belum terungkai.

* Difahamkan, keadaan persekitaran dan dalam Kellie’s Castle itu amat menyeramkan kerana faktor penjajahan Jepun di Tanah Melayu suatu ketika dulu apabila menjadikan bangunan itu sebagai tempat menyeksa dan membunuh penduduk kampung

* Konon ceritanya, ramai yang terkorban di situ, justeru lokasi berkenaan dikatakan berhantu, namun keadaan itu dikaitkan dengan kematian keluarga Smith, tetapi fakta berkenaan tidak benar. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.