Khalid Tempelak Siti Kasim, Semua Negara Ada Undang-undang

KUALA LUMPUR – Selepas aktivis Siti Kasim mengkritik cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mahu mengehadkan waktu perniagaan premis hiburan sehingga jam 1 pagi bermula 1 Jan tahun depan, kini giliran 

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad pula menempelak peguam kontroversi tersebut.

Mengulas mengenai kritikan tersebut, Khalid dengan nada sarkastik berkata, semua negara mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi.

“Kalau budak-budak pukul 10 kena tidur. Yang ini pukul 1. Terpulang pada dia. Kalau di United Kingdom dan negara lain pun semua ada lesen dan ada waktu tutup, bukan main ikut suka sahaja. Tiada negara yang tiada langsung undang-undang bagi operasi ikut suka,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Karnival Kembali ke Sekolah, di Lembah Pantai di sini, hari ini.

Tegas Khalid, cadangan tersebut hanya melibatkan pusat hiburan yang mempunyai lesen perniagaan sehingga jam 1 pagi namun ‘berdegil’ dengan melanjutkan operasi  melebihi masa yang ditetapkan.

“Maknanya kalau lesen pukul 1, jadi pukul 1 lah. Ini kerana masalah rasuah. Ada yang lesen pukul 1 tapi bila disogok dia jalan sampai pukul 3. Kita tak mahu macam tu.

“Kalau lesen kata pukul 1, jadi pukul 1 sahajalah. Kalau kata pukul 3, pukul 3, kalau kata pukul 5, pukul 5. Saya beri contoh pukul 1, nanti dia (media) kata semua pukul 1 pula,” katanya lagi.

Mengulas lanjut kata Khalid, satu perbincangan lanjut bersama DBKL akan dibuat dalam tempoh terdekat bagi mengenal pasti prosedur serta peraturan yang perlu dipatuhi oleh semua kelab malam dan premis hiburan di bandar raya ini.

“Yang penting bila peraturan ditentukan, semua kena ikut,” tegas Khalid.

Baru-baru ini Siti Kasim menerusi Facebook beliau mengkritik pengumuman Khalid mengenai cadangan itu yang disifatkan sebagai cubaan untuk mengekang kebebasan orang awam melakukan perkara yang menjadi hak mereka.

Siti Kasim mempersoalkan hak Khalid untuk menentukan sama ada orang awam boleh atau tidak boleh keluar selepas jam 1 pagi.

“Jika anda fikir anda boleh menyalahgunakan kuasa yang diberikan oleh undang-undang ‘dengan melapisinya jubah moral’, fikir sekali lagi,” tulisnya. 

Siti Kasim juga mendakwa langkah itu hanya memperlihatkan keunggulan dan bukan cubaan pihak kerajaan memahami mereka.

“Bukan undang-undang yang menyekat kebebasan kita, sebaliknya kepercayaan anda yang melihatnya sebagai belenggu.

“Jangan membelenggui kami juga,” kata Siti Kasim. -SuaraTv 

One thought on “Khalid Tempelak Siti Kasim, Semua Negara Ada Undang-undang

  • December 2, 2018 at 5:10 pm
    Permalink

    Ikut undang2..kalau tk suka bolih duduk luar dunia ya??

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.