Isu Kuil: Status Moratorium Beberapa Akta Ditarik, Kuasa Penuh Kepada Polis

SUBANG JAYA: Kabinet bersetuju menarik semula moratorium ke atas beberapa akta yang sedang dikaji semula susulan insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield di sini, Isnin lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lalu bagi memberi kuasa penuh kepada polis melaksanakan undang-undang sedia ada.

Katanya, perkara itu diusulkan sendiri oleh beliau dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

“Moratorium sebelum ini membabitkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Hasutan 1948.

“Ini juga termasuk beberapa undang-undang mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jemaah Menteri bersetuju tarik semula moratorium semua undang-undang berkenaan, Jumaat lalu,” katanya pada sidang media ketika melawat kuil Sri Maha Mariamman Seafield, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.

Ini katanya, moratorium sedia ada menyekat pihak berkuasa dan keselamatan daripada melaksanakan undang-undang berkenaan kerana ia dalam proses dikaji semula atau dihapuskan.

“Tetapi dalam keadaan semasa dengan apa yang sedang dan berlaku sekarang, terutama yang berkaitan dengan kes kuil ini, Kabinet bersetuju membenarkan polis bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Ini kerana kita ada instrumen undang-undang yang cukup berkesan dan pihak polis memerlukan satu panduan untuk mereka melaksanakan tugas menjaga keamanan dan keselamatan awam,” jelas beliau.

Tambah beliau, jika undang-undang berkenaan masih pada status moratorium, polis terpaksa mengambil tindakan yang terlalu berhati-hati sehingga membayangkan polis tiada kuasa dan boleh mendorong pihak tidak bertanggung jawab mengambil kesempatan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.