Ahli Bersatu Pendang Desak Ketua Bahagian Letak Jawatan

PENDANG – Lebih 1,000 pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pendang mendesak ketua bahagiannya, Abdul Razak Khamis melepaskan jawatan kerana didakwa gagal memimpin parti itu sejak dua tahun lalu.

Timbalan Ketua Armada BERSATU Pendang, Mohd Fitri Hassan, mendakwa majoriti 44 cawangan BERSATU di Pendang melahirkan rasa kecewa terhadap kepemimpinan parti di peringkat bahagian sedia ada khususnya dalam pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), baru-baru ini.

Selain itu, beliau berkata pihaknya turut mempertikaikan tindakan Abdul Razak yang menafikan hak kepemimpinan Armada untuk bersama dalam mesyuarat bahagian dan persidangan bahagian BERSATU selain menidakkan hak orang awam untuk menjadi ahli parti apabila borang keahlian yang diisi tidak didaftarkan.

“Sekurang-kurangnya 42 cawangan daripada keseluruhan 44 menolak kepemimpinan Abdul Razak berikutan banyak tindakan tidak wajar dilakukannya, sekali gus mengundang pelbagai masalah serta menyebabkan perpecahan dalam parti.

“Ia termasuklah tiada notis awal dikeluarkan untuk pemberitahuan berhubung mesyuarat persidangan tahunan bahagian dan beliau juga memecat AJK (Ahli Jawatankuasa) Bahagian tanpa sebarang notis jika mereka menegur dan tidak sehaluan dengan tindakannya.

“Kami menyifatkan Abdul Khamis ini tidak layak untuk menjadi pemimpin kerana beliau masih mengamalkan sikap daripada parti lama iaitu menjilat, mengampu dan mengipas, ” katanya pada sidang media, di sini.

Pada masa sama, Mohd Fitri berkata, pihaknya turut mengharapkan campur tangan daripada kepemimpinan BERSATU negeri untuk menyelesaikan perkara ini sebelum berlangsungnya pemilihan tahun depan demi memastikan kelangsungan parti di peringkat bahagian.

“Kita meminta supaya Pengerusi BERSATU negeri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memandang serius perkara yang dikemukakan kerana kami tidak mahu parti yang kita bina bersama ini hancur hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

“Jika keadaan semakin teruk dan Abdul Razak tidak mahu mengosongkan jawatan, kami memohon supaya kepemimpinan tertinggi bubarkan sahaja BERSATU Pendang, ” katanya.

Sementara itu, Ketua Srikandi Pendang, Norizan Bidin, pula berkata pihaknya kesal apabila parti tidak mendaftarkan ahli secara rasmi sedangkan banyak permohonan yang diterima daripada orang ramai sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Bayangkan di Sungai Tiang sahaja, kita ada 600 permohonan dengan bayaran pendaftaran sebanyak RM4 setiap orang namun apabila borang itu dihantar ke pejabat BERSATU Bahagian Pendang hanya 12 orang yang didaftarkan.

“Kami hairan di mana duit pendaftaran itu diletakkan sedangkan tiada keahlian didaftarkan… ia amat merugikan BERSATU Pendang kerana ramai yang nak masuk tetapi dinafikan hak mereka, ” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.