Kecoh Penampakan Langsuir Bertenggek Atas Tiang Elektrik Di Melaka

ALOR GAJAH – Kecoh apabila ada pihak menyebarkan visual kononnya ada langsuir bertenggek atas tiang elektrik di tepi Jalan Simpang Gading ke Kesang Pajak, berhampiran pusat pelancongan The Touch City, di sini.

Kisah itu mula heboh apabila seorang pengguna laman sosial Facebook memuat naik visual berdurasi 10 saat yang menunjukkan kelibat seperti lembaga sedang bertenggek atas lampu elektrik.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira seminggu lalu di laluan berkenaan.

Sementara itu, menerusi visual dimuat naik dalam laman Facebook Ghost Hunters Malaysia, menguatkan lagi dakwaan bahawa penemuan langsuir berkenaan memang sengaja direka.

Bagaimanapun tindakan sekumpulan individu cuba mengesan laluan yang dikatakan kelibat langsuir itu dirakam dan mendapati ia hanyalah pelepah kelapa yang tersangkut pada tiang lampu jalan.

Susulan itu, penduduk sekitar Durian Tunggal, di sini, kesal dengan perbuatan netizen menyebarkan visual berkenaan.

Menurut mereka, rakaman video yang menjadi tular itu sengaja direka-reka pengguna jalan raya dengan tujuan untuk menakut-nakutkan orang ramai atau mungkin sekadar bergurau.

Bagaimanapun, perbuatan itu boleh mengakibatkan penduduk ketakutan selain mencemarkan nama baik kampung sekitar.

Seorang penduduk, S. Murugan, 34, berkata, dia mengetahui tentang visual berkenaan menerusi Facebook, bagaimanapun dia langsung tidak percaya ada langsuir di kampung kelahirannya itu.

“Semua ini tidak betul. Gambar yang tersiar dalam Facebook mungkin telah disunting oleh pihak tertentu dengan tujuan untuk gurauan. Mungkin juga mereka sengaja hendak menakut-nakutkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berdekatan kerana jalan itu sering menjadi laluan mereka untuk ke pekan Durian Tunggal.

“Saya sejak dari kecil tinggal di sini, malah rumah saya pun terletak di sebelah kubur Cina, tidak pernah sekalipun nampak langsuir,” katanya.

Bagi seorang pengguna jalan raya yang sering berulang-alik di laluan berkenaan, Abdul Rahim Samat, 40, pula mengakui ada mendengar cerita orang ramai mendakwa kononnya pernah ternampak kelibat langsuir di situ.

Bagaimanapun, katanya, dia sendiri tidak pernah berjumpa dengan lembaga yang dimaksudkan itu.

“Mereka ada mendakwa kononnya laluan di sini keras tetapi bagi saya mungkin pada malam hari suasana laluan di sini agak gelap dan menakutkan,” katanya.

Namun begitu, Pengarah Darul Syifa’ negeri Melaka, Faisol Sheikh Mohd ketika dihubungi Sinar Harian  berkata, kewujudan makhluk berkenaan memang ada sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran.

Bagaimanapun, jelasnya, sekiranya wujud semua itu adalah permainan dan tipu daya jin dan syaitan bagi memporak perandakan masyarakat.

“Sebenarnya kewujudan makhluk ini yang berupa jin tidak mustahil. Cuma dia tidak tunjukkan rupa asal. Jin tidak boleh dilihat tetapi boleh menjelma pelbagai rupa termasuk sebagaimana yang di dakwa masyarakat.

“Golongan ini wujud bertujuan untuk menyesatkan manusia dan cuba menakut-nakutkan masyarakat.  Misalnya terjadinya tular tentang perkara itu sehingga memberi kesan negatif kepada masyarakat,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.