16,600 Pelajar Di Wilayah Persekeutuan Terima Bantuan Persekolahan

PUTRAJAYA – Seramai 16,600 pelajar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan menerima bantuan persekolahan sesi 2018 dengan peruntukan keseluruhan RM2.5 juta daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata di bawah program ‘Ceria Ke Sekolah’, setiap pelajar akan menerima baucar pakaian sekolah bernilai RM100 dan kelengkapan lain seperti beg sekolah dan alat tulis.

Katanya, semua barang keperluan itu adalah untuk kegunaan mereka pada sesi persekolahan tahun depan.

“Mereka termasuk 1,150 pelajar di kawasan Parlimen Putrajaya,” katanya selepas merasmikan Program Berkhatan Beramai-ramai dan Program Ceria ke Sekolah anjuran kementeriannya dan YWP peringkat Putrajaya di sini, hari ini.

Seramai 400 kanak-kanak berumur antara empat hingga 12 tahun menyertai program berkenaan.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, berkata program berkhatan itu salah satu inisiatif bagi membantu meringankan perbelanjaan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Sementara itu, beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), berkata penentuan calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan dibuat berdasarkan kehendak rakyat, bukan kerana faktor lobi.

“Budaya melobi oleh calon yang ingin bertanding tidak akan diambil kira. BN ada pasukan khas untuk memilih calon yang menjadi kehendak rakyat di kawasan terbabit,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.