Video : Azwan Bro Layak Isi Jawatan Ketua Pemuda – Jamawi

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun atau Azwan Bro layak mengisi jawatan Ketua Pemuda UMNO menggantikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada pemilihan akan datang.

 

Ketua Penerangan Pemuda Umno, Jamawi Jaafar berkata, Khairul Azwan merupakan antara calon yang layak untuk mengisi jawatan tersebut dan beliau yakin dengan ketokohan serta ciri kepimpinan yang dimiliki oleh Khairul Azwan, beliau mampu menggalas tugas tersebut sekiranya dipilih pada pemilihan nanti.

 

“Ya beliau (Khairul Azwan) memang layak untuk mengisi jawatan tersebut dan beliau sebagai Naib Ketua Pemuda bukan sahaja dapat melaksanakan tugas, tetapi menjadi orang nombor dua dalam Pemuda Umno. Beliau juga telah memberikan komitmen beliau untuk menggerakkan pemuda, bersama-sama kami.

 

“Kami satu pasukan. Tidak ada masalah. Malahan calon Ketua Pemuda yang lalu, saudara Irwan, juga bersama dengan kami, beliau bersama kami. Tiada masalah untuk kami bekerjasama. Bagi saya lebih baik kalau kita dapat kumpulkan idea-idea sebegini, mereka-mereka yang berpotensi untuk kebaikan pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,”katanya ditemui di Perhimpunan Agung UMNO 2016 (PAU2016) di sini, hari ini.

 

Jamawi turut mengakui tiada masalah untuk bekerjasama dengan Khairul Azwan memandangkan sudah mengenali dan telah bekerjasama pada setiap pergerakan jentera itu.

 

“Saya bersama-sama dengan beliau dan dua calon yang lain dalam pertandingan Naib Ketua Pemuda UMNO yang lalu. Malah, kita bertanding secara keluarga, kita menawarkan diri kepada ahli-ahli diperingkat bawahan dan Alhamdulillah beliau memegang jawatan tersebut dan saya pula dilantik sebagai Ketua Penerangan.

 

“Tidak ada masalah untuk saya bekerja dengan beliau. Saya sentiasa berbincang dengan beliau, sentiasa ingin meminta nasihat daripada beliau dan bertanya kepada beliau bagaimana untuk saya meneruskan kerja saya sebagai Ketua Penerangan.

 

“Beliau banyak memberikan idea-idea beliau kepada saya dan bagi pihak saya, beliau seorang yang cukup baik, berkebolehan untuk memimpin dan InsahaAllah sekiranya diberi tanggungjawab oleh para perwakilan, beliau mampu untuk melaksanakan amanah tersebut,”katanya.

 

Semalam, nama Khairul Azwan menjadi sebutan Ketua Pemuda Umno bagi meneruskan perjuangan sayap pergerakan Pemuda Umno Malaysia bagi menggantikannya menerajui pergerakan jentera itu.

 

Ini merupakan penggal terakhir kepada Khairy menggalas tugas sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.