Maut Ditembak Pegawal Peribadi Datuk

PULAU PINANG – Seorang lelaki bergelar Datuk bersama dua individu lain maut ditembak penga­wal peribadinya selepas satu perselisihan faham di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu berhampiran susur masuk ke Jambatan Pulau Pinang, di sini malam ini.

 
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu, empat individu lain termasuk seorang jurukamera sambilan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mohd. Amirul Amin Amir, 28, cedera setelah terkena tembakan rambang yang dilepaskan pengawal peribadi terbabit.

 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di antara Datuk terbabit bersama beberapa individu lain termasuk pengawal peri­badinya ketika kesemua mereka berada di dalam sebuah kenderaan yang datang dari arah Georgetown.

 
Menurutnya, ekoran perselisihan faham itu berlaku pergaduhan antara mereka dan pengawal keselamatan terbabit telah me­nembak Datuk berkenaan.

 
“Selepas kejadian tembak itu, rakan kepada Datuk tersebut te­lah bertindak keluar daripada kenderaan dinaiki mereka dan lari bagi menyelamatkan diri.

 
“Tindakan rakan Datuk terbabit telah menyebabkan pengawal peribadi berkenaan melepaskan tembakan sehingga terkena beberapa orang awam yang berada di sekitar lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

 

Tambah Zainol, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mencari motif sebenar kejadian manakala semua mangsa yang cedera telah dikejarkan ke hospital bagi tujuan rawatan.

 

Beliau berkata, pengawal peribadi yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu telah ditahan di lokasi kejadian dan kes berke­naan dianggap selesai. Sementara itu, Mohd. Amirul Amin yang telah berkhidmat di RTM selama lebih lapan tahun ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP) berkata, dia tidak menyangka menjadi mangsa tembakan rambang.

 

Ujarnya, kejadian berkenaan berlaku terlalu pantas ketika jalan berkenaan agak sesak.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.