DBKL Bawa Tuntutan Bil Bersih Ke Mahkamah

PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menyediakan bukti kukuh untuk membawa Bersih 2.0 ke mahkamah dalam isu tuntutan bil pembersihan dan pembaikan selepas himpunan Bersih 5, bulan lalu.

 

Datuk Bandar Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz proses tuntutan undang-undang itu akan diteruskan seperti biasa kerana pihaknya mempunyai bukti kukuh.

 

“Kita ikut proses itu dan akan teruskan ke mahkamah. Ada kawasan landskap rosak di Jalan Ampang. (Kita) ada bukti landskap itu dipijak,” katanya kepada FMT.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Bersih 2.0 yang enggan membayar bil pembersihan dan pembaikan yang dikenakan ke atas mereka.

 

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih Jay Jay Denis berkata gabungan pemantau pilihan raya itu bertegas untuk tidak membayar RM26,500 yang dikeluarkan DBKL terhadap mereka.

 

Katanya, DBKL perlu mengambil tindakan undang-undang jika mahu mendapatkan bayaran itu.

 

DBKL berkata jumlah dikenakan itu merangkumi kos kontraktor membersihkan dan membaiki harta awam yang rosak semasa tunjuk perasaan Bersih 5 pada 19 November lepas.

 

Sementara itu, Amin berkata gerakan Baju Merah juga masih belum membayar bil pembersihan yang dikenakan DBKL.

 

“Baju Merah kata hendak bayar tetapi belum lagi,” katanya.

 

Baju Merah dikenakan bil pembersihan RM873 selepas kumpulan itu mengadakan tunjuk perasaan balas di Padang Merbok pada hari sama dengan Bersih 5.

 

Ketuanya Datuk Jamal Md Yunos sebelum ini dilaporkan berkata dia sedia membayar 3 kali ganda jumlah bil yang dikenakan. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.