Timbalan Menteri Silap, Kenaikan Kadar Tol PLUS Belum Diputuskan – Fadillah

KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menolak kenyataan Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Sirlin Abdul Rahid yang mengatakan Projek Lebuhraya Utara Selatan Bhd. (PLUS) boleh menaikkan kadar tol sebanyak lima peratus mulai 2016.

 

Menurutnya, tiada kenaikan kadar tol untuk PLUS kerana kerajaan belum membuat keputusan mengenai perkara ini.

 

Katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, sebuah jawatankuasa akan dibentuk untuk membincangkan kadar kenaikan tol baharu sebelum berakhirnya tahun ini.

 

“Jawatankuasa itu melibatkan Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan (MOF), Unit Kerjasama Awam Swasta Pejabat Perdana Menteri, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Peguam Negara, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS Malaysia Bhd,” katanya.

 

Beliau berkata demikian berhubung kenyataan Rosnah mengenai spekulasi media yang mengatakan kadal tol PLUS akan dinaikkan tahun depan.

 

Fadillah berkata, kerajaan pada 2013 telah memberi jaminan bahawa kadar tol‎ antara bandar akan dikurangkan secara beransur-ansur menjelang 2018 dan mengulangi bahawa kerajaan berhasrat untuk memenuhi janjinya.

 

“Memang perjanjian konsesi PLUS membenarkan kenaikan 10 peratus kadar tol setiap tiga tahun seperti diputuskan di bawah Perdana Menteri sebelumnya.

 

“Tetapi apabila PLUS dimiliki sepenuhnya oleh UEM Bhd dan Kumpulan Wang Simpnan Pekerja pada 2011, perjanjian ini dirundingkan semula dan kenaikan tol dikurangkan kepada lima peratus setiap tiga tahun,” katanya.

 

Menurut Fadillah, kali terakhir kenaikan tol PLUS adalah pada 2005 dan sejak itu, kadar tol tidak dinaikkan walaupun perjanjian memperuntukkan kenaikan tol pada 2008 dan 2011.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.