Rakyat Dapat Manfaat Daripada Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Sarawak – Najib

KUALA LUMPUR – Persempadanan semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak akan memberi manfaat kepada rakyat khususnya di kawasan pedalaman, untuk mendapat perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Perdana Menteri berkata kajian semula persempadanan itu adalah demi meningkatkan taraf hidup ekonomi serta merancakkan pembangunan di Sarawak.

 

” Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah meluluskan pindaan Undang-undang ke atas Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sarawak berhubung komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 71 kerusi kepada 82 kerusi yang berkuat kuasa pada 5 Dis lalu.

 

” Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah melaksanakan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi negeri Sarawak,” katanya ketika membentangkan usul mengenai laporan kajian semula itu di Dewan Rakyat di sini hari ini.

 

Katanya berikutan lat tempoh lapan tahun bagi Sarawak telah mencukupi, maka urusan persempadanan itu adalah tertakluk kepada peruntukan Fasal (3B) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

 

Najib berkata SPR telah pun menyiapkan laporan kajian semula itu dan syor-syor yang dicadangkan untuk Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak kali keenam Tahun 2015.

 

“Laporan kajian itu telah diserahkan kepada saya pada 21 Ogos 2015,” katanya.

 

Katanya urusan kajian semula persempadanan kali ini telah dilaksanakan dengan mengguna pakai daftar pemilih yang diwartakan pada 30 April 2014, di mana jumlah pemilih berdaftar bagi Sarawak adalah seramai 1,109,134 orang.

 

” Kajian Semula Persempadanan yang terakhir telah dilaksanakan pada 2005 dengan mengguna pakai daftar pemilih seramai 905,722 orang yang telah diwartakan pada 4 Nov 2004. Ini bermakna, bilangan pemilih berdaftar bagi negeri Sarawak telah meningkat sebanyak 18 peratus atau seramai 203,412 orang,” katanya.

 

Perdana Menteri berkata dalam melaksanakan urusan kajian semula itu, SPR juga menyemak dan mengemas kini daerah mengundi sedia ada di Sarawak serta mencadangkan pewujudan beberapa daerah mengundi baharu, kerana terdapat pertambahan bilangan pemilih berdaftar yang baharu dan keperluan untuk mewujudkan pusat mengundi baharu.

 

” Notis syor persempadanan yang dicadangkan bagi negeri Sarawak telah diwartakan kali pertama pada 2 Jan 2015. Syor-syor dan Rang Pelan Persempadanan tersebut telah dipamerkan di tempat-tempat yang dinyatakan dalam Notis Persempadanan serta disiarkan dalam beberapa akhbar tempatan,” katanya.

 

Sebagai langkah proaktif, Najib berkata notis, syor dan rang pelan tersebut juga telah dimuat naik ke laman web rasmi SPR bagi memudahkan maklumat tersebut diperolehi atau diakses oleh orang ramai.

 

Laporan Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak yang dibentangkan hari ini mencadangkan tambahan 11 bahagian bagi negeri.

 

Bagi Bahagian Pilihan Raya Persekutuan pula, tiada perubahan bilangan tetapi terdapat perubahan sempadan ke atasnya.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.