Perlindungan Dasar Bumiputera Dalam TPPA Mengecewakan, Kata Pakar Perdagangan

KUALA LUMPUR – Kemampuan Malaysia memperolehi sebahagian besar aspek perlindungan ekuiti daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bagi melindungi dasar Bumiputera dianggap mengecewakan, kata pakar perdagangan hari ini.

 

Dr Razeen Sally, pakar perdagangan dan pengerusi ekonomi politik dan tadbir urus Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), berkata sangat mengecewakan ahli TPPA lain membenarkan Malaysia memperolehi banyak pengecualian, membolehkan negara ini terus mengekalkan dasar istimewa untuk golongan majoriti.

 

“Sangat mengecewakan pengecualian ini diberikan. Tetapi saya berharap ia bukanlah penamat kisah, kerana penambahbaikan boleh dilakukan dengan komitmen sedia ada,” katanya pada 1 taklimat TPPA di Kuala Lumpur hari ini.

 

Di bawah TPPA, Malaysia memperolehi pengecualian ekuiti dalam bab pemerolehan kerajaan dengan penanda aras mencecah RM380 juta.

 

Ini bermakna hanya projek bernilai di atas RM380 juta dibuka untuk persaingan terbuka.

 

Pengecualian ekuiti ini juga membenarkan kerajaan mengekalkan dasar ekuiti Bumiputera sebanyak 30%.

 

Razeen berkata, Malaysia kini “kehabisan” pertumbuhan industrinya dan pertumbuhan seterusnya hanya mungkin berlaku dengan adanya perubahan, yang ketika ini masih tidak berlaku kerana “isu tadbir urus”.

 

Oleh itu, sangat penting semua pasaran dibuka kepada persaingan supaya negara terus berkembang menjadi sebuah negara maju, katanya.

 

Bagaimanapun, Razeen berkata, lebih baik Malaysia berada dalam TPPA berbanding tidak menyertainya.

 

“Bagi jangka masa panjang, manfaat menyertai TPPA lebih banyak berbanding tidak menyertainya,” katanya.

 

Malah, katanya, kritikan terhadap isu seperti Penyelesaian Pertikaian Pelaburan Negara (ISDS), peruntukan yang membenarkan syarikat mengheret negara ke mahkamah, dan kebimbangan mengenai peningkatan harga ubat merupakan pandangan tidak adil yang bertujuan “menakut-nakutkan”.

 

“ISDS adalah baik. Tiada persoalan di situ,” katanya.

 

Razeen menjelaskan, ISDS diperlukan sebagai 1 mekanisme pengawalan terakhir pelabur kerana banyak negara membangun mempunyai “institusi yang pincang”, termasuk badan kehakiman mereka.

 

Beliau juga berkata, dalam kes kecemasan kesihatan awam, negara boleh meminta syarikat memecahkan paten ubat bagi menurunkan harganya. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.