PAS : Buktikan kami dipengaruhi fahaman ISIS

KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mencabar Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu supaya membuktikan dakwaan Pas telah diresapi pemikiran Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

 

Beliau berkata, tuduhan mengatakan Pas menyeleweng telah mengiyakan dakwaan bahawa Amanah ditubuh atas dasar yang yang salah.

 

“Mat Sabu dan rakan-rakan Amanah menuduh Pas mirip ISIS. Buktikan siapa dan mana ahli Pas yang mengkafirkan (musuh), itu cerita zaman 80-an dia nak hidupkan balik. Dia tidak ada isu (serang Pas).

 

“Kafir itu telah lama hilang dalam Pas dan apabila budaya ini disebut kembali oleh Amanah membuktikan Amanah ini hidup dalam zaman 80-an. Dia guna hujah yang UMNO guna masa zaman 80-an, malah UMNO sendiri sudah tidak pakai tiba-tiba dia pakai,” katanya, lapor FMT.

 

Sebelum ini, Mohamad Sabu atau Mat Sabu membuat dakwaan itu kerana Pas mengkafirkan orang Islam dari kumpulan yang berbeza dengan perjuangan parti itu.Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, perjuangan Pas tidak pernah berubah dan mereka tetap dengan dasar parti yang telah ditetapkan sebelum ini.

 

Sehubungan itu katanya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah beberapa kali menegaskan bahawa bahayanya ISIS yang perlu dibanteras.

 

Menurutnya, Pas menentang ISIS kerana percaya pertubuhan itu didalangi musuh-musuh Islam.

 

“Pas menentang ISIS kerana kita anggap di belakangnya musuh-musuh Islam. Pas pecat mereka yang terlibat dalam peperangan di Syria,” katanya.

 

Terdahulu Mat Sabu mendedahkan di antara punca Amanah ditubuhkan kerana Pas sudah diresapi pemikiran ISIS.

 

Dia turut menuntut siasatan terperinci dibuat pasukan keselamatan negara ke atas penyusupan pemikiran ISIS yang menyebabkan suburnya budaya “takfiri” dalam Pas iaitu mengkafirkan kumpulan yang berbeza.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.