Pak Yus Mungkin Rahsiakan Penyakitnya – Tauke Jambu

KUALA LUMPUR – Bekas pemenang tempat keempat Raja Lawak musim pertama, Zamaratul Amri Zakaria atau lebih dikenali sebagai Tauke, 39, tidak menolak kemungkinan sahabat baiknya, Allahyarham Yussry Edoo atau Pak Yus menyembunyikan penyakit yang dihidapinya.

 

Bahkan kata Tauke yang juga merupakan anggota kumpulan Jambu bersama Pak Yus, sahabatnya yang dikenalinya lebih sedekad lalu itu tidak menunjukkan sebarang perubahan pada dirinya sebelum meninggal dunia.

 

“Apabila bersama dengan arwah, tiada langsung tanda yang jelas dia sedang berhadapan dengan penyakit tetapi saya cukup perasan arwah memang suka termenung.

 

“Tingkah lakunya itu memang kerap berlaku terutama ketika sedang mesyuarat mahupun sewaktu menunggu giliran ketika mahu membuat persembahan.

 

“Tetapi saya tidak dapat memberikan kepastian sama ada tindakannya itu ada kaitan dengan penyakit yang dirahsiakannya itu,” ujar Tauke sewaktu ditemu bual oleh program hiburan, H! Live ketika ditemui di Hospital Selayang, Selangor.

 

Semalam, Pak Yus yang merupakan bekas juara Raja Lawak musim pertama pada tahun 2007 itu dikejarkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas sejurus mengadakan persembahan dalam satu majlis di ibu negara.

 

Namun, anak kelahiran Kangar, Perlis itu tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia sekitar pukul 12.30 tengah malam.

 

Jenazah beliau kemudiannya dimandikan dan dikafankan sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Nesam, Kangar, Perlis untuk disemadikan selepas solat Zuhur kelmarin.

 

Mengulas tentang kejadian itu, Tauke turut memberitahu seandainya mereka tiba lima minit lebih awal, besar kemungkinan Pak Yus dapat diselamatkan.

 

“Doktor sendiri mengesahkan perkara tersebut kerana ketika dia menghela nafasnya yang panjang sebelum menghembuskan nafas terakhir, kami tiba lima minit lewat,” ujar Tauke dalam nada perlahan.

 

Ketika diajukan pertanyaan oleh wartawan H! Live, Shenthy Feliziana tentang kenangan terindah sepanjang persahabatannya dengan Pak Yus, pelawak itu hilang kata-kata sambil menahan sebaknya.

 

Ujarnya dalam suara yang tersekat-sekat, Tauke menyifatkan memori yang tercipta antara mereka berdua cukup banyak sehingga dia sendiri tidak mampu untuk memikirkannya.

 

Tauke dan Pak Yus mula berkenalan ketika mereka bersama-sama menyertai pertandingan Sinaran Pasport Kegemilangan terbitan TV3 pada tahun 2001 tetapi kedua-duanya gagal menjadi finalis.

 

Kemudian, masing-masing terpilih sebagai finalis Raja Lawak musim pertama yang julung kali diperkenalkan oleh Astro pada tahun 2007.

 

Sekitar tahun 2010, mereka bergabung tenaga lalu mewujudkan kumpulan Jambu dan menyertai Maharaja Lawak sehingga mampu mengekalkan populariti serta jenama mereka sehingga kini.

 

Terbaharu, Tauke dan Jambu bersama penyanyi, Misha Omar disatukan untuk membentuk kumpulan Kobis Pedas dalam program realiti yang semakin mendapat tempat, Juara Parodi. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.