Lim Guan Eng Diminta Tidak Hipokrit

GEORGETOWN – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng diminta supaya tidak bersikap oportunis serta hipokrit kepada partinya apabila menjawat jawatan Ketua Menteri tanpa melalui proses demokrasi.

 

Setiausaha Organisasi Nasional Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Isahak berkata, tindakan Guan Eng yang menjadi ketua menteri tanpa bertanding dalam Konvensyen DAP Pulau Pinang baru-baru ini mengelirukan rakyat.

 

“Guan Eng adalah seorang yang pentingkan diri sendiri selain hipokrit apabila menjadi ketua menteri tanpa melalui proses demokrasi dalaman parti terlebih dahulu.

 

“Apakah rasionalnya dan sehingga bila Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow yang mendapat undi tertinggi harus ‘bermurah hati’ dan tunduk dengan menyerahkan jawatan ketua menteri kepada seorang individu yang tidak pernah berani untuk bertanding walaupun DAP sudah menjadi peneraju kepada kerajaan negeri ini sejak 2008,“ katanya.

 

Menurutnya, rakyat Pulau Pinang harus sedar bahawa selama ini mereka dipimpin oleh seorang pemimpin yang tidak diiktiraf di peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

 

“Amat malang bagi ahli DAP dan rakyat Pulau Pinang kerana terpaksa mempunyai seorang ketua menteri yang tidak diiktiraf jawatannya di peringkat pusat (CEC) kerana pemilihan CEC tidak diiktiraf Pendaftar Pertubuhan (ROS).

 

“Walau apa sekalipun, umum mengetahui bahawa hasil dari keputusan konvensyen berkenaan hanyalah lebih bersifat ‘tin kosong’ kerana ia berkemungkinan tidak diiktiraf oleh ROS disebabkan sekatan undang-undang di bawah Akta Pendaftar Pertubuhan 1966,” katanya.

 

Rahmad berkata, sebagai seorang yang berintegriti, Guan Eng perlu berlaku adil dan menghormati kedudukan Kon Yeow sebagai Pengerusi DAP negeri.

 

“Guan Eng perlu menghormati Kon Yeow kerana dia dipilih rakyat untuk menyandang jawatan berkenaan dalam DAP negeri,” katanya.

 

Ahad lalu pada Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2015 menyaksikan seorang perwakilan meminta supaya jawatan ketua menteri diberikan kepada pengerusi DAP sekiranya jawatan itu diberikan kepada parti itu. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.