Kemudi Rosak Punca Nahas Pesawat AirAsia Di Laut Jawa

JAKARTA – Kerosakan sistem kawalan pengemudi pesawat men­jadi faktor utama nahas penerbangan AirAsia pada Disember tahun lalu di Laut Jawa yang mengorbankan 162 orang, kata pasukan penyiasat Indonesia semalam.

 

Masalah berulang pada sistem kemudi menyebabkan juruterbang dan pembantunya mematikan fungsi penerbangan automatik ketika cuaca buruk dalam usaha memulihkan keadaan sebelum pesawat Airbus A320-200 itu hilang kawalan, kata seorang pegawai Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia.

 

Dalam laporan akhir mereka mengenai nahas tersebut, pasukan penyiasat memaklumkan pateri pada sistem Pengehad Perjalanan Kemudi yang membantu mengawal pergerakan alat kemudi pesawat, mempunyai keretakan dan menyebabkannya menghantar isyarat amaran berulang kali kepada juruterbang.

 

Selepas kali keempat isyarat amaran berbunyi, juruterbang telah menekan butang pemutus litar pada sebahagian sistem kawalan pesawat untuk menetapkan semula sistem tersebut.

 

Tindakan itu menyebabkan fungsi pemanduan automatik turut ter­padam dan pesawat mula berpusing, jelas laporan tersebut.

 

“Mereka (juruterbang dan pembantunya) gagal mengawal pesawat tersebut,” tambah laporan tersebut.

 

Menurutnya, perakam data penerbangan tidak menunjukkan pesawat itu terjejas akibat cuaca buruk. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.