Keluarga Kiram Bukan Pengganas, Kata Tian Chua

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR Chua Tian Chang hari ini mendakwa “kumpulan” yang ditemuinya di Manila, Filipina bersama seorang lagi naib presiden parti Nurul Izzah Anwar, bukan anggota pengganas.

 

Ahli Parlimen Batu itu yang lebih dikenali sebagai Tian Chua berkata, pihaknya menjangkakan kumpulan ditemui mereka adalah sebahagian daripada “pemerintah Filipina”.

 

“Saya jangka apa yang dipolitikkan. Saya jangka kumpulan yang kita jumpa ini sebahagian pemerintah Filipina, bukan pengganas yang tidak diiktiraf kerajaan Filipina,” katanya.

 

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat ketika mengambil bahagian dalam penggulungan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di peringkat jawatankuasa.

 

Sehubungan itu, Chua meminta penjelasan KDN sama ada kerajaan mengenal pasti kumpulan yang menyerang Sabah dan merancang membalas dendam selepas gagal dalam serangan mereka di timur Sabah pada 2013.

 

“Saya cuma nak dapatkan jawapan menteri, sama ada kerajaan kenal pasti kumpulan mana, kalau kumpulan sama, kesultanan Sulu yang ‘self-proclaimed’ (mengakui dirinya sendiri), sebahagian daripada itu.

 

“Itu sebab, kalau kita tuduh, kena spesifik. Kalau tidak, tidak adil kita tuduh,” katanya dalam perbahasan itu.

 

Chua mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed sebelum ini yang mendakwa, kumpulan pengganas Sulu di selatan Filipina sedang merancang melancarkan serangan balas dendam di Lahad Datu susulan kegagalan mereka menawan Sabah pada 2013.

 

Menurut Nur Jazlan, KDN sedang memantau dan menghapuskan rangkaian kumpulan berkenaan di pantai timur Sabah.

 

Dalam sesi penggulungan hari ini, Nur Jazlan bagaimanapun mempersoalkan kenyataan Chua, dengan meminta beliau menyatakan nama keluarga Kesultanan Sulu yang menyerang Sabah.

 

“Siapa nama keluarga yang serang negara kita? Kiram bukan? Yang Batu dan Lembah Pantai jumpa namanya Kiram, bukan?” soal Nur Jazlan, merujuk kepada kerusi Parlimen yang disandang Chua dan Nurul Izzah.

 

Awal bulan lalu, pertemuan Nurul Izzah dengan Jacel H Kiram, anak bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu yang menceroboh Lahad Datu pada 2013, menjadi viral dan membangkitkan kemarahan ramai selepas gambar mereka dimuat naik Jacel dalam akaun Facebooknya.

 

Nurul Izzah kemudiannya mengakui bertemu Jacel pada 9 November semasa berada di Filipina bersama Chua, sebagai sebahagian daripada rombongan PKR bertemu pelbagai pihak berkepentingan negara itu.

 

Selepas berdepan dengan pelbagai kritikan dan kecaman, Nurul Izzah akhirnya memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang terguris dengan gambar itu.

 

Pertikaman lidah antara Nur Jazlan dan Chua itu kemudiannya menarik perhatian Ahli Parlimen Putatan Datuk Dr Makin@Marcus Mojingoh yang bangun meminta penjelasan mengenai alasan 2 pemimpin PKR itu berada di Manila.

 

“Hati saya masih sakit. Tindak tanduk Batu dan Lembah Pantai jumpa golongan yang mendesak tuntutan tanah Sabah.

 

“Jadi, kenyatan menteri itu, bolehkah menyoal apa sebenarnya tujuan Batu dan Lembah Pantai bersepakat? Adakah jadi “barua”?” soalnya.

 

Kenyataan itu kemudiannya menerima perhatian Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang bertanyakan maksud perkataan “barua” yang digunakannya.

 

“Apa makna “barua” bagi orang Sarawak? Saya tidak mahu tanya orang Sabah, Semenanjung,” soal Pandikar.

 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof kemudiannya bangun dan berkata: “Saya orang Sarawak. Perkataan barua itu tidak ada dalam kamus.”

 

Pandikar kemudiannya berkata: “Saya orang Sabah, kalau istilah itu digunakan di Sabah, maksudnya “orang tengah”.”

 

“Jadi jangan gunakan perkataan yang mengundang reaksi negatif. Itu sahaja nasihat saya,” kata Pandikar.

 

Makin kemudian bertanya kepada Nur Jazlan sama ada pertemuan Chua dan Nurul Izzah itu usaha menarik perhatian penceroboh Sabah.

 

“Lembah Pantai dan Batu jumpa individu yang pernah membunuh rakyat Malaysia. Adakah ini sebahagian daripada usaha pembangkang menarik minat penceroboh masuk balik ke Sabah?” soalnya.

 

Chua kemudiannya bangun mencelah dan bertanya sama ada KDN yakin dengan sumber risikan mereka dan sama ada menteri yakin dengan kesahihan maklumat risikan itu.

 

“Jika sahih, apa yang dilakukan untuk menghalangnya? Tetapi, menteri secara langsung kaitkan apa yang berlaku dengan Lembah Pantai di Manila. Soalan itu dipolitikkan,” dakwanya.

 

Makin kemudiannya tiba-tiba mencelah dan berkata: “Tujuan pergi Manila buat apa, jawab dulu!”

 

Chua kemudiannya berkata: “Ini bukan platform saya jawab tuduhan.”

 

Nur Jazlan sebelum itu menjelaskan, tujuan beliau membangkitkan soal penceroboh Sulu ingin membalas dendam itu ialah bagi memberi peringatan kepada rakyat.

 

“Kenapa kenyataan saya diputarbelitkan? Memang mereka akan balas dendam. Dia bunuh 10 orang kita, kita bunuh juga.

 

“Cara mereka bunuh orang kita pun kejam. Kenapa naib presiden PKR boleh ambil gambar dengan musuh negara?” soalnya. – M.Insider

One thought on “Keluarga Kiram Bukan Pengganas, Kata Tian Chua

  • December 2, 2015 at 7:56 pm
    Permalink

    betul la 2 kiram palsu 2 bukan pengganas tapi penceroboh,,,,, kalau da timbul hal macam ni baru la nak sedar….yg jadi mangsa orang2 lahad datu….lahad datu tidak aman macm dulu,,, di sebabkan barua2 di atas 2…..go to hell la yg pecaya pada puaka2 yg jadi musuh negara..,, sekadar meluahkan….

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.