Insiden Gol Pelik: FAM Gantung Empat Pengadil

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bertindak menggantung pegawai pertandingan iaitu pengadil, Samsudin Ibrahim, Bushrah Eri (penolong pengadil pertama) dan pegawai keempat, Khairul Rizal Ismail buat sementara waktu sehingga satu tindakan lanjut diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengadil FAM dalam tempoh terdekat.

 

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang turut memberitahu, penolong pengadil kedua, Asmadi Noor Hasni pula digantung selama dua minggu.

 

Jelas Hamidin, tindakan itu diambil selepas Samsudin, Busrah dan Khirul Rizal melakukan kesilapan dalam melaksanakan undang-undang permainan iaitu berkaitan syarat permulaan semula permainan selepas gol dihasilkan pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2015 antara PKNS FC dan Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang Sabtu lalu.

 

“Mereka bertiga jelas telah melakukan kesilapan dalam membenarkan pemain PKNS FC untuk melakukan sepak mula ketika dua pemain Kedah masih berada di kawasan pasukan lawan selepas gol kedua Kedah menerusi Sandro Da Silva pada minit ke-57.

 

“Susulan situasi itu, PKNS FC berjaya menjaringkan gol pertama menerusi Mohd. Faiz Isa pada minit ke-58 dan selepas perbincangan antara kesemua pegawai perlawanan berkenaan, gol PKNS FC itu tetap disahkan lalu Samsudin meneruskan baki permainan.

 

“Asmadi pula hanya digantung dua minggu kerana kedudukannya yang jauh dari tempat insiden berlaku tetapi tetap dianggap bersalah kerana tidak menggunakan konsep untuk membantu pengadil dalam membuat keputusan berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

 

Hamidin menambah, keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Pengadil FAM itu adalah berdasarkan analisis video dan laporan daripada penilai pengadil bagi perlawanan berkenaan, Zainal Abidin Yaacob.

 

Katanya, FAM memandang serius perkara itu dan terus mengambil tindakan serta merta dengan membuat keputusan penggantungan ini tanpa perlu menunggu laporan atau aduan rasmi daripada pasukan terlibat.

 

“Keempat-empat pegawai perlawanan ini akan dipanggil menghadiri kursus refreshment dalam masa terdekat untuk pihak Jabatan Pengadil FAM menjelaskan lebih mendalam tentang undang-undang permainan kepada mereka.

 

“Samsudin merupakan antara pengadil berpengalaman di negara ini dengan mengendalikan perlawanan-perlawanan penting Liga Malaysia (Liga-M) termasuk final Piala FA 2014 antara Pahang dan Felda United.

 

“Keputusan dibuatnya pada perlawanan Sabtu lalu mungkin kerana beliau terlepas pandang serta terburu-buru dalam membuat keputusan. Bagi memastikan para pengadil FAM yang lain sentiasa dapat mengendalikan perlawanan dengan baik, FAM dari semasa ke semasa melakukan kursus refreshment sebanyak dua atau tiga kali setahun yang dikendalikan instraktor daripada FIFA,” katanya. – KOSMO!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.