Hamidah Tetap Hadir PAU Walaupun Dipecat

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Wanita UMNO Gopeng, Datuk Hamidah Osman tetap akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2015 walaupun sudah dipecat daripada parti.

 

Beliau menganggap pemecatannya tidak sah kerana belum menerima sebarang notis hitam putih daripada ibu pejabat parti.

 

“Saya tidak dapat surat pemecatan rasmi dari ibu pejabat parti dan saya rasa pemecatan saya tidak sah. Saya rasa saya masih ahli parti,”katanya.

 

Beliau masih keliru kerana tidak tahu secara jelas kesalahannya sehingga dirinya dipecat.

 

Katanya beliau hadir bagi memberi sokongan kepada sembilan ketua cawangan parti di Teluk Kemang yang dipanggil untuk soal siasat jawatankuasa disiplin kerana mahu presiden parti dilucutkan hari ini selain bagi mendapatkan penjelasan mengenai pemecatannya seperti yang diputuskan oleh mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO baru-baru ini.

 

Hamidah turut menolak kemungkinannya menyertai parti pembangkang dan menjelaskan dia masih sayangkan parti.

 

“Saya akan terus kekal dengan UMNO walaupun apa yang terjadi kerana sayangkan parti dan perjuangan membela orang Melayu dan rakyat bawahan,” katanya yang mendakwa pemecatannya menerusi media.

 

Beliau yang menyifatkan pemecatan tersebut sistem parti memecatnya tidak ubah seperti peraturan pasar.

 

“KJ (Khairy Jamaluddin) kata pemecatan saya kerana MT UMNO mendapati saya sudah melampau tetapi bagi saya tindakan yang dibuat macam peraturan pasar sahaja,” jelasnya.

 

Walaupun keliru, Hamidah berasa kemungkinan pucuk pimpinan mengambil tindakan kerana menganjurkan ceramah melibatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad tetapi menafikan dakwaan berkongsi pentas dengan pembangkang.

 

Beliau memberitahu, pimpinan UMNO Negeri Perak termasuk Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir juga berdiam diri dan tidak memberi apa-apa penjelasan terhadap pemecatannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.