Sheikh Hasina Adakan Lawatan Rasmi Ke Malaysia Hingga 4 Disember

Dhaka – PYT Sheikh Hasina, Perdana Menteri Republik Rakyat Bangladesh akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia pada 2-4 Disember 2014.

Lawatan tersebut diadakan atas jemputan daripada Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Lawatan tersebut juga merupakan lawatan balas kepada Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri ke Dhaka pada November 2013.

Ini merupakan lawatan kedua beliau ke Malaysia selepas lawatan pertama untuk menyertai World Islamic Economic Forum (WIEF) ke-enam yang dihoskan oleh Kuala Lumpur pada Mei 2010.

Majlis Sambutan Rasmi akan diadakan pada 3 Disember 2014 di Dataran Perdana, Putrajaya.

Semasa lawatan tersebut, kedua–dua Perdana Menteri akan mengadakan Mesyuarat Dua Hala yang memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk membuat penilaian ke atas prestasi semasa hubungan dua hala, serta mengenal pasti kerjasama yang boleh dilakukan di masa hadapan yang membawa kepada keuntungan bersama.

Kedua–dua pemimpin juga akan menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian dan beberapa Memorandum Persefahaman antara kedua–dua belah pihak.

Malaysia dan Bangladesh menikmati hubungan yang baik, disokong oleh kerjasama di bidang ekonomi yang memberangsangkan di mana Malaysia kekal sebagai pelabur terbesar bagi Bangladesh di kalangan negara-negara ASEAN.

Selain itu juga, jalinan kerjasama yang erat turut merangkumi bidang pendidikan dan latihan, pembangunan infrastruktur, pertahanan dan hubungan sesama rakyat.

Malaysia merupakan antara negara pertama yang mengiktiraf kemerdekaan yang dicapai oleh Bangladesh pada 1971.

Hal ini serta persamaan dari segi agama dan budaya telah menyumbang kepada hubungan erat yang dikongsi kedua-dua negara pada hari ini.

Lawatan ini dijangka akan memberi rangsangan ke arah hubungan dua hala yang lebih erat yang bukan hanya dapat mengukuhkan lagi, bahkan dapat meningkatkan hubungan dua hala Malaysia–Bangladesh ke tahap yang lebih tingi di masa akan datang. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.