Setem Pertama Tanah Melayu Bertarikh 1854 Pernah Dilelong US$1.5 Juta

Kuala Lumpur – Tiga keping setem pertama yang digunakan di Tanah Melayu bertarikh 1854 pernah dilelong di London dengan harga US$1.5 juta sekeping.

Nilainya sekarang bagaimanapun tidak diketahui, tetapi setem-setem ini menjadi daya tarikan utama pengunjung ke Pameran Setem Remaja Dunia (KLwyse) 2014 yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Ketua Hal Ehwal Pos dan Tandatangan Digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Mohamed Zaidi Abdul Karim berkata, setem tersebut diterbitkan oleh Syarikat Hindia Timur (EIC).

EIC mentadbir pengeluaran dan penggunaan setem pos di Negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura dan di seluruh wilayah pos (postal region).

Dalam temubual dengan Bernama, Mohamed Zaidi berkata, kira-kira 150,000 setem koleksi 300 peserta dari 46 buah negara dipamerkan selama enam hari bermula hari ini di KLwyse bagi merebut peluang memenangi pertandingan dunia filateli terunggul.

Pameran setem itu diadakan bersempena genap 160 tahun penggunaan setem diadakan di Malaysia ini berjaya menarik kehadiran pengunjung pelbagai peringkat daripada kanak-kanak hinggalah pengumpul setem warga emas.

Antaranya, Lim Cheng Wah, 74, yang sanggup datang dari Melaka menaiki bas pada pukul 6 pagi semata-mata untuk tidak melepaskan peluang mengumpul koleksi setem dari setiap negara peserta.

Pengerusi Persatuan Filateli Melaka itu mula mengumpul setem ketika berusia 10 tahun dan mempunyai koleksi menarik termasuk setem British ‘half penny’ dari India tahun 1867 dan setem Malaya 1957.

“Saya mula minat kumpul setem semasa sekolah rendah di Negeri Sembilan apabila melihat kawan-kawan kumpul setem dan ia menjadi hobi saya hingga hari ini.

“Saya harap bila ada pameran seperti ini, minat mengumpul setem dapat dipupuk dalam kalangan anak-anak muda kerana hobi ini sangat baik,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, ialah Mohd Zaidi Mat, 45, yang datang dari Kota Baharu, Kelantan membawa anaknya, Nur Sarah Najihah, 11, sebagai hadiah hari lahirnya yang jatuh semalam.

“Saya nak belikan dia setem dari luar negara yang ada di pameran ini untuk lengkapkan ‘philatelic passport’ (buku setem) dan beri pada dia sebagai hadiah sebab dia minat kumpul setem sejak tahun lepas”.

Bagi Amirah Mohd Amin, 16, rombongan anjuran sekolahnya, Sekolah Menengah Sains Muar, Johor sempena cuti sekolah ke pameran ini adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan.

Amirah yang dilahirkan dalam keluarga pengumpul setem mula mempunyai hobi itu pada usia 11 tahun dan mempunyai koleksi setem seawal tahun 1930-an.

“Pameran seperti ini bagus sebab memberi peluang kepada pengumpul setem seperti saya untuk mendapatkan setem dari luar negara dan kalau boleh saya nak dapat setem dari semua negara peserta,” katanya.

Bagi pempamer dari luar negara, kedatangan pengunjung pada hari pertama KLwyse sangat menggalakkan dan berharap suasana itu dapat dikekalkan sehingga hari keenam.

“Sungguh mengujakan dengan muncul pelbagai respons. Kanak-kanak begitu berminat terhadap setem eksotik seperti setem kayu dan sutera.

“Mereka seronok memenuhi buku setem mereka,” kata A. V. Jeyachandran dari India.

Sementara itu, pempamer dari Amerika Syarikat Peter Singer, menyaksikan begitu ramai pengumpul ‘peringkat awal’ mengunjungi boothnya.

“Saya bawa kebanyakannya setem dari Malaya, Borneo dan zaman Pendudukan Jepun.

“Saya jangka inilah yang kebanyakan orang di sini inginkan,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.