Sekadar Berkongsi Rutin Harian, Bukan Bersosial – Fouziah

Petaling Jaya – Pelakon jelita, Fouziah Gous, 31, tidak peduli komen negatif sesetengah pihak terhadap sikapnya sering memuat naik foto mesra dan romantik bersama suaminya, Md Zhafran Mohd Yusof menerusi laman sosial Instagram (IG).

Pelakon drama Rindu Bertamu di Abu Dhabi ini menyatakan dia sudah lali dengan komen berbaur kritikan dan mempunyai sebab tersendiri selain sekadar berkongsi dengan peminat mengenai rutin harian serta perkembangan dirinya menerusi media sosial tersebut.

Jelasnya, peristiwa pernah kehilangan beberapa orang tersayang dalam hidup membuatkan dia fobia.

Malah, apabila terkenang kembali dia menyesal kerana tidak banyak merakamkan dan menyimpan foto bersama.

Justeru, dia menganggap IG sebagai ruang mengabadikan detik bersama orang sekeliling termasuk indivdu paling bermakna dalam hidupnya ketika ini iaitu suaminya.

“Susah jika bercakap pasal mentaliti atau pandangan orang terhadap diri kita. Sebelum ini, saya pernah berkata saya akan berkongsi tentang suami saya setelah saya berkahwin.

“Jadi apa yang saya muat naik di IG tu adalah sekadar berkongsi rutin harian sendiri dan saya bukan seorang bersosial. Jadi, setiap hari kebanyakan masa saya adalah bersama suami dan lagipun kami bekerjasama mengusahakan perniagaan,” katanya ketika ditemui dalam satu acara fesyen baru-baru ini.

Katanya, dia masih fobia selepas kehilangan rakannya yang juga anak kapal pesawat MH17 dan MH370.

“Hati saya sangat sebak dan terasa kehilangan mereka dan sebelum ini saya juga kehilangan ayah. Jadi, setiap kali saya bersama suami jika mempunyai saat manis dan menarik, saya suka rakamkan gambar serta berkongsi di IG.

“Saya jadikan IG sebagai ruang mengumpul kenangan dengan orang tersayang termasuk mereka di sekeliling saya.

“Ia bukan bertujuan menunjuk sebaliknya, mahu berkongsi dengan ahli keluarga dan kenalan rapat yang ada dalam senarai pengikut di IG saya,” katanya.

Dalam pada itu, Fouziah memberitahu dia sudah lima bulan tidak mengambil sebarang tawaran berlakon kerana sibuk mengusahakan perniagaan sarang burung.

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan dan Insya Allah, saya dan suami mempunyai perancangan pasarkan produk kami di negara Timur Tengah,” katanya yang bakal muncul menerusi drama terbaru, Roh Alia Kembali di Astro.

Belum Cukup Kenal

Mengenai masa depan, Fouziah menyatakan tidak merancang mahupun terlalu berharap mahu menimang cahaya mata dalam masa terdekat.

“Saya tidak langsung tertekan walaupun mendengar berita kawan lain yang baru berumah tangga cepat dikurniakan zuriat sebab sebenarnya kami masih lagi dalam mood ‘honeymoon’.

“Kami bercinta selepas kahwin, jadi sekarang kami tengah dalam proses memahami satu sama lain.

“Rupanya banyak lagi perkara yang saya belum kenal dengan suami. Setiap hari ada benda baru yang saya belajar tentang diri dia dan walaupun ada sifat dan kelakuannya yang mengejutkan tetapi saya rasa semua itu menarik,” katanya. -mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.