Rela Jadi Gelandangan, Bantuan JKM Di Dermakan Kepada Pihak Lain

Johor Bahru – Seorang lelaki yang menerima wang bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sanggup mendermakan kesemua duit itu kepada golongan daif dan rela memilih hidup bergelandangan sejak lebih lima tahun lalu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, warga emas berusia 81 tahun berkenaan berasal dari Pasir Gudang, di sini, penerima bantuan sejumlah RM300 setiap bulan.

Menurutnya, warga emas berkenaan sepatutnya menggunakan wang itu untuk meringankan bebannya, sebaliknya dia menggunakan wang berkenaan untuk menderma kepada kumpulan gelandangan lain atau golongan daif.

“Siasatan mendapati warga emas berkenaan gemar membelikan makanan kepada golongan berkenaan dengan hasil bantuan diperolehnya itu.

“Sebelum ini dia pernah dimasukkan ke Rumah Seri Kenangan (RSK) selepas diselamatkan JKM kerana hidup bergelandangan.

“Dia yang masih bujang dan anak saudaranya juga sanggup menawarkan tempat tinggal, namun warga emas berkenaan rela hidup bergelandangan,” katanya.

Manayi berkata, warga emas itu antara 14 golongan gelandangan yang diselamatkan pihaknya dalam operasi bersepadu menangani gelandangan dan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) oleh Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) serta JKM bermula jam 10 malam Khamis hingga awal pagi Jumaat lalu.

Menurutnya, kesemua gelandangan yang ditahan itu berusia antara 25 hingga 81 tahun dan gelandangan yang memiliki waris dibebaskan dengan amaran.

Katanya, gelandangan yang tidak memiliki waris pula ditempatkan sementara di Rumah Seri Kenangan (RSK).

“Tindakan dilakukan di bawah Seksyen 3(2) Akta Orang Papa 1977,” katanya. -Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.