Penduduk Cameron Kecewa Dengan Palanivel

Shah Alam – Penduduk Cameron Highlands meluahkan kekecewaan atas sikap lepas tangan Ahli Parlimen kawasan tersebut, Datuk Seri G Palanivel yang mengelak untuk bertemu mereka bagi membincangkan isu melanda tanah tinggi tersebut.
Terbaru, Palanivel dikatakan gagal meluangkan masa bagi menghadiri forum ‘Selamatkan Cameron Highlands’ anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Rakyat Prihatin Cameron (RPC), semalam.
Jurucakap RPC, Suresh Kumar berkata, pihaknya sudah menghantar dua surat jemputan kepada Palanivel memintanya meluangkan masa untuk memberi penerangan dan berbincang bersama penduduk mengenai masalah yang melanda tanah tinggi berkenaan.
“Beliau (Palanivel) langsung tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap jemputan yang dihantar pada 14 November dan 27 November,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Pihak RPC juga kata Suresh, telah memberikan tiga pilihan tarikh kepada pihak Palanivel untuk dipertimbangkan, yang mana kesemuanya jatuh pada hari Ahad.
Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada ketika ini dikatakan berada di Lima, Peru kerana menghadiri Mesyuarat Perubahan Iklim Dunia, dan dijangka berada di sana sehungga 10 Disember.
Namun Suresh mendakwa, pihaknya difahamkan Palanivel berada di Cameron pada 23 November lalu, namun enggan berjumpa penduduk bagi menjawab persoalan mereka hadapi berikutan kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan.
Forum yang sepatutnya menjadi medan untuk Palanivel mendengar pertanyaan dan rintihan rakyat di kawasannya itu, sebaliknya haya dihadiri ADUN Tanah Rata, Leong Ngah Ngah.
“Kalau tidak mahu berjumpa penduduk, sekurang-kurangnya berjumpalah dengan kami (NGO). Memang ada penduduk yang marah dan kecewa serta tidak puas hati kerana selepas insiden berlakupun, beliau tidak meluangkan masa untuk bersemuka,” katanya.
Forum berkenaan dihadiri kira-kira 40 orang penduduk setempat dengan isu yang dibangkitkan meliputi pencemaran sungai yang semakin kritikal, isu lesen menduduki sementara (TOL), banjir kilat dan tanah runtuh yang dialami kesan penerokaan tanah yang tidak terkawal.
Insiden tanah runtuh di Cameron baru-baru ini telah meragut tiga nyawa dan paling dikesalkan, ia bukanlah kejadian kali pertama berlaku di kawasan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.