‘Pegawai’ Kastam Larikan Wang Deposit Anak Andy Flop Poppy

Kuala Lumpur – Hasrat vokalis kumpulan Loka yang juga anak kepada penyanyi Andy (Flop Poppy) iaitu Dan Azreen untuk memiliki kereta baharu musnah apabila wang deposit berjumlah RM100,000 miliknya lesap dilarikan seorang lelaki kira-kira lima bulan lalu.

Memetik laporan di mstar online, Dan atau nama sebenarnya Megat Daniel Azreen, 22, berkata, jumlah tersebut diserahkan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Kastam Daerah Lumut, Perak bagi proses pembelian tiga kereta untuk dirinya, tunang dan seorang kenalan mereka.

Lelaki yang dikenali sebagai Mohd Faleq itu turut membawa mereka ke rumah keluarganya di Bota Kiri, Perak untuk berjumpa keluarganya dan ia menambahkan keyakinannya terhadap individu itu.

“Selepas kami menyerahkan wang berkenaan secara tunai kepadanya dia ada menyerahkan satu salinan geran dan sijil daripada Puspakom namun tidak menyertakan nombor plat kenderaan tersebut.

Sejak itu dia mula memberikan pelbagai alasan apabila ditanya bila kami boleh dapat kenderaan tersebut sehinggalah dia menghilangkan diri. Kali terakhir dia menghantar mesej kepada saya pada 27 September lalu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dan memberitahu sebelum membuat laporan polis mereka merujuk perkara itu kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan mendapati kereta yang dimaksudkan tidak pernah didaftarkan.

Menyedari mereka ditipu, Dan membuat laporan di Balai Polis Mutiara Damansara dekat sini baru-baru ini dan kes berkenaan sedang dalam siasatan.

“Kami bukan sahaja membuat laporan polis malah turut menghubungi keluarganya di Perak namun mereka turut mendakwa tidak mengetahui di mana lelaki itu berada,” ujarnya.

Sementara itu, Dan berkata, pendedahan tentang perkara tersebut di laman sosial Instagram dan Facebook baru-baru ini turut mendapati lelaki berkenaan telah melakukan banyak penipuan berhubung jual beli kereta.

Malah kata Dan, beberapa rakan dan saudara terdekatnya juga pernah menjadi mangsa penipuan tersebut dengan pelbagai taktik sebelum melarikan diri selepas mendapat wang yang diminta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.