MH370 : Mahkamah Perintahkan MAS Bela Diri

Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan syarikat penerbangan nasional, Malaysian Airline System Berhad (MAS) dan empat pihak lagi memfailkan pernyataan pembelaan dalam kes saman oleh dua anak lelaki kepada penumpang pesawat MH370 yang masih hilang sejak 8 Mac lalu.

Selain MAS, empat pihak lain itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Kerajaan Malaysia

Saman itu difailkan dua beradik berusia 13 dan 11 tahun, bagi menuntut ganti rugi berhubung kehilangan pesawat yang dinaiki bapa mereka itu ketika dalam penerbangan ke Beijing.

Timbalan Pendaftar, Pavani Kasi menetapkan semua defendan perlu memfailkan pernyataan pembelaan itu sebelum 15 Disember ini, ketika prosiding bagi menentukan tarikh pengurusan kes berkenaan di dalam kamarnya, Isnin.

Prosiding hari ini dihadiri peguam, Datuk Dr. S Arunan dan peguam Gary Edward Chong mewakili dua beradik itu selaku plaintif.

Ketika ditemui pemberita, Arunan berkata, Pavani juga menetapkan 12 Januari depan untuk pengurusan kes di hadapan hakim yang masih belum ditetapkan.

Mengenai saksi yang akan dipanggil bagi memberi keterangan dalam kes itu, Arunan berkata, pihaknya masih lagi berbincang untuk memutuskan siapa yang akan dipanggil.

“Kami ada menerima e-mail daripada ‘foreign experts‘ (pakar asing) yang menawarkan diri untuk membantu dalam kes ini,” katanya sambil menambah semua pihak ingin tahu apa yang berlaku terhadap pesawat MH370 yang masih menjadi persoalan.

Dua beradik itu melalui ibu mereka, Ng Pearl Ming, 38, telah memfailkan saman terhadap MAS dan empat pihak terbabit pada 31 Oktober.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, dua beradik itu mendakwa bapa mereka Jee Jing Hang, 41, penumpang pesawat MH370, telah memasuki suatu kontrak perjanjian penerbangan dengan MAS dalam penerbangan dari Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam dan dijangka mendarat di Beijing pada 6.30 pagi, 8 Mac.

Plaintif mendakwa menerusi perjanjian itu, MAS sebagai defendan pertama seharusnya mengambil semua langkah yang wajib bagi memastikan penerbangan yang selamat, namun, telah memungkiri perjanjian itu apabila gagal mendarat di Beijing dan tiada butiran lanjut mengenai pengakhiran pesawat itu sehingga hari ini.

Selain itu, plaintif mendakwa Ketua Pengarah DCA sebagai defendan kedua yang bertanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan kawalan trafik udara bagi memastikan penerbangan itu selamat, telah gagal dan cuai untuk mengambil langkah secukupnya bagi mendapatkan perhubungan dan menjejaki pesawat itu melalui radar.

Adik-beradik itu turut mendakwa Jabatan Imigresen telah gagal dan cuai melaksanakan pemeriksaan rapi ke atas penumpang pesawat itu sehingga membolehkan beberapa penumpang menaiki pesawat dengan menggunakan pengenalan palsu.

Mereka juga mendakwa pihak TUDM telah gagal dan cuai untuk menghantar pesawatnya dengan kadar segera bagi mengenal pasti pesawat yang tidak dijadualkan telah muncul dalam sistem radar TUDM, berkemungkinan adalah MH370.

Justeru, kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi terhadap kesemua defendan atas kehilangan bapa mereka yang merupakan penanggung tunggal mereka, seorang ahli perniagaan berpendapatan bulanan RM16,865, dan ganti rugi tambahan akibat penderitaan yang dialami kedua-dua adik-beradik itu.

Turut dituntut adalah ganti rugi teladan kerana mengabaikan nyawa bapa mereka, penumpang lain dan anak kapal serta meletakkan keluarga mereka dalam kecelaruan, kos, faedah dan relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada skrin radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari kejadian.

Usaha mencari pesawat berkenaan kini masih dijalankan di selatan Lautan Hindi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.