Keadah Pengapungan Mengalihkan Pengguna Kepada RON97

Kuala Lumpur – Pelaksanaan kaedah pengapungan terkawal dalam menentukan harga minyak tanpa subsidi bermula hari ini sekaligus menyaksikan pengguna beralih kembali menggunakan minyak RON97 yang kini ditetapkan pada kadar harga RM2.46 manakala RON95 pula berharga RM2.26 seliter.

Tinjauan The Rakyat Post mendapati permintaan minyak hijau (RON97) kini meningkat berbanding minyak kuning ( RON95) di mana rata-rata stesen minyak di sekitar ibu kota kini kehabisan bekalan minyak tersebut.

Seorang pengusaha stesen minyak di Kuala Lumpur yang tidak mahu namanya didedahkan memberitahu bahawa setelah minyak RON97 diturunkan harga kepada RM2.50, lebih ramai pengguna beralih kembali menggunakan minyak tersebut berbanding ketika ia dijual pada kadar harga RM2.70 sebelum ini.

“Ketika minyak RON97 turun harga, ramai yang bertukar menggunakan minyak ini kerana harganya yang tidak jauh berbeza berbanding harga lama.

“Faktor harga yang hanya berbeza sekitar 20 sen seliter daripada RON95, menyebabkan ramai yang bertukar menggunakan RON9,” katanya.

Menurutnya, ramai pelanggan mempercayai minyak RON97 lebih berkualiti dan pengguna boleh menikmati jarak perjalanan yang lebih jauh jika dibandingkan dengan RON95.

“Kalau dulu permintaan RON95 lebih tinggi berbanding RON97 menyebabkan kami memastikan bekalan RON95 lebih banyak tapi kini permintaan RON97 pula lebih tinggi menyebabkan bekalan minyak jenis ini cepat habis.

“Bila kami mohon supaya pembekal minyak hantar lebih, mereka hanya hantar 5,460 liter sahaja dan selepas harganya turun kini Kami hanya dibekalkan sebanyak 4,000 liter sahaja.

“Semasa harganya RM2.50 pun ia habis dijual, sekarang lagi laku, kerana ramai yang nak menggunakannya,” katanya.

Seorang pengguna kenderaan diesel, Beh Su Ming, 19, berkata, minyak turun harga tetapi diesel pula naik sebanyak 3 sen.

“Walau naik 3 sen ia agak membebankan kerana kami isi lebih 80 liter sehari,” katanya.

Mohd. Azwan Mohammad, 33, pula memberitahu yang dia menggunakan minyak dari jenis RON95 kerana harganya lebih murah.

“Minyak RON95 turun 4 sen tak banyak berbeza. Jika ia turun 20 atau 30 sen barulah boleh rasa perbezaannya,” katanya.

Sementara itu,pengguna minyak RON97, Low Kok Heng, 63, berkata, harga bukannya jadi penentuan tetapi kualiti yang lebih diutamakan.

“Minyak RON97 lebih power berbanding RON95,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.