Kapal KM Pemanggil Ditenggelam Sebagai Tukun Tiruan

Kuala Lumpur – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menyerahkan kapal KM Pemanggil yang akan ditenggelamkan bagi tujuan dijadikan tukun tiruan untuk memberi manfaat kepada masyarakat nelayan khususnya di Labuan.

Kapal itu yang diserahkan kepada Jabatan Taman Laut Labuan dalam satu majlis oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar pada 22 Julai lepas, telah ditenggelamkan di perairan Pulau Kuraman.

Menurut kenyataan APMM semalam, penyerahan KM Pemanggil kepada Jabatan Taman Laut itu bertujuan membantu meningkatkan pendapatan nelayan, selain menjadi pusat pertumbuhan, pembiakan flora dan fauna marin serta tempat perlindungan ikan.

KM Pemanggil merupakan kapal peronda yang dibina dengan ukuran panjang 31.4 meter dan lebar enam meter serta ketinggian 1.7 meter oleh Vosper Ltd di Portsmouth, England pada 28 Julai 1967.

Pada asalnya, kapal itu dikenali sebagai KD Kerambit yang digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum diserahkan kepada APMM pada 27 Jun 2006.

Pelayaran terakhir kapal tersebut ialah pada 4 Julai tahun lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.