Johor Sasar Setinggan Sifar

Johor Bahru – Kerajaan Johor mensasarkan untuk mencapai status setinggan sifar dalam tempoh lima tahun khususnya terhadap perkampungan setinggan yang dibina di atas tanah milik kerajaan negeri.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sasaran ditetapkan bagi memastikan setiap rakyat di negeri ini tinggal di kediaman selesa.

“Kita mempunyai matlamat untuk mencapai tahap setinggan sifar di negeri ini, namun, itu hanya membabitkan setinggan yang dibina di atas tanah kerajaan.

“Bagi (rumah) setinggan yang dibina atas tanah persendirian, kita mengharapkan kerjasama tuan tanah untuk memikirkan apakah jalan terbaik yang boleh diambil mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat penduduk setinggan di Kampung Rinting C, Pasir Gudang, yang mengalami kerugian selepas rumah mereka terlibat dalam kebakaran, petang semalam.

Kejadian pukul 3 petang itu memusnahkan 16 rumah dan menyebabkan 76 mangsa kehilangan tempat tinggal.

Sementara itu, Ketua Kampung Kuala Masai, Roslan Wahab, 56, berkata pihaknya akan berusaha untuk menempatkan keluarga yang terlibat dalam kebakaran itu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan berhampiran.

Roslan berkata buat masa ini kesemua keluarga yang terlibat ditempatkan sementara di surau Kampung Rinting C.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.