Blogger Seks, Alvin Dakwa Perwakilan UMNO Badut, Rasis Dan Malas

Kuala Lumpur – Bekas penulis blog seks dan aktivis sosial yang mencari suaka politik di luar negara selepas didakwa di bawah Akta Hasutan menolak dakwaan negara perlu mengambil tindakan ke atas individu berpendirian sepertinya.

Sebelum ini, anggota tertinggi Majlis UMNO, Datuk Seri Hasan Malek berkata orang ramai perlu sedar kepentingan Akta Hasutan 1948 kerana terdapat individu yang secara terbuka menghina sesetengah agama atau monarki.

Penulis blog kontroversi Alvin Tan bagaimanapun tidak bersetuju dengan kenyataan ini.

Tindakan menguatkan lagi Akta Hasutan 1948 dibuat kerana UMNO takut kehilangan sokongan daripada ahlinya, kata Alvin.

Alvin yang didakwa kerana menghasut selepas memuat naik gambar yang menyinggung perasaan orang Islam, menuduh UMNO ‘rasis keterlaluan dan malas.’

“Saya tak rasa pembangkang atau mereka yang tidak setuju memasukkan faktor berkenaan dalam keputusan yang dibuat. Lumrah perbezaan pendapat, kecuali ada revolusi yang berlaku, maka perbezaan pendapat ini boleh diabaikan,” katanya.

Katanya lagi apa yang tidak boleh diabaikan adalah tuntutan ahli UMNO.

Pemimpinnya, menurut Tan, hanya menjadi badut dalam perbincangan UMNO kerana penyokong mereka membuat ancaman untuk tidak terus menyokong mereka sekiranya gaya tadbir urus tidak menurut apa yang mereka kehendaki.

Katanya lagi, Akta Hasutan 1948 hanyalah simptom ketakutan UMNO kehilangan sokongan bahagian ekstrimis.

“Kumpulan pelampau ini mahukan Akta Hasutan dikekalkan kerana tidak sanggup ego mereka dikritik oleh rakyat.”

Sementara itu, aktivis Ali Abdul Jalil berkata, orang ramai marahkan kerajaan atas penyalahgunaan Akta Hasutan.

“Sekiranya anda mengkritik sultan atau kerajaan anda boleh didakwa di bawah akta berkenaan tetapi tiada tindakan sekiranya anda bersikap rasis semata-mata untuk mempertahankan Melayu.”

Katanya, Akta Hasutan 1948 hanyalah senjata untuk kerajaan gunakan ke atas musuh mereka.

Ali yang didakwa kerana menghina Sultan Selangor dan Johor mendakwa, UMNO tidak akan disiasat di bawah akta berkenaan walaupun ‘menyebarkan ideologi rasis.’

Sebaliknya, menurut Ali, individu sepertinya yang memperjuangkan hak rakyat dan rasis pula didakwa beberapa kali.

Menurutnya, polis dan mahkamah juga bersikap tidak adil apabila mengendalikan kes melibatkan ahli UMNO.

“Semuanya ini dirancang, sekiranya anda menentang mereka, anda akan didakwa.” – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.