Awal Kurang Profesional, Tidak Berfikiran Terbuka – Azrul

Petaling Jaya – Pelawak dan pengacara, Azrul Zaidi, 40, menyifatkan kenyataan pengacara popular Awal Ashaari meluahkan rasa kesal kononnya stesen televisyen di negara ini bersikap lebih cenderung memilih pelawak sebagai pengacara manakala pengacara lain sebagai pilihan kedua dilabel sebagai kurang profesional dan tidak berfikiran terbuka.

Bidas Azrul, setiap tawaran yang diterima pelawak mahupun sesiapa saja dikira sebagai rezeki masing-masing.

Katanya, jika hari ini pelawak dilihat seperti monopoli pentas pengacaraan mahupun tugasan mengendalikan sesuatu program, ia adalah kepercayaan diberikan pihak stesen televisyen.

“Rezeki masing-masing. Kami sebagai pelawak tak pernah merungut apabila ada pelakon yang bukan pelawak membawa watak pelawak dalam filem komedi.

“Kalau pelawak dipilih mengacarakan program, ia adalah kepercayaan yang diberikan stesen televisyen. RTM pernah memberi kepercayaan kepada saya mengendalikan program berkonsep sukan, Santai Go dan pernah dipertanggungjawabkan mengacara satu majlis keputeraan diraja.

“Bagi saya, penonton lebih sukakan pengacara santai dan tidak terlalu serius manakala elemen lawak perlu ada dalam bidang pengacaraan tidak kira lawak secara sinis atau serius kerana ia lebih dapat menarik perhatian,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest.

Azrul berkata demikian ketika diminta mengulas status yang dimuat naik di laman sosial, Facebook miliknya yang menyatakan pandangan terhadap kenyataan kekesalan Awal seperti dilaporkan portal hiburan, baru-baru ini.

Tambah Naib Juara Raja Lawak musim kedua ini, sebagai seorang pengacara berpengalaman Awal perlu melihat kehadiran pelawak di pentas pengacaraan sebagai satu persaingan sihat.

“Saya pun tidak pasti bagaimana soalan dikemukakan wartawan itu kepadanya tetapi jika dia benar serius dalam bidang pengacaraan, dia sepatutnya menjadikan kehadiran pelawak sebagai cabaran dan mungkin dia perlu mempertingkat serta memperbaiki kelemahan diri.

“Namun, apabila kenyataannya seolah kesal, ia dianggap kurang profesional dan tidak berfikiran terbuka. Seperti pelawak, kami juga perlu bersaing dengan pengacara yang jauh lebih berpengalaman dan masing-masing ada kelebihan sendiri,” katanya.

Azrul berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan Awal. Malah mereka sebenarnya bakal bergandingan dalam sebuah program terbitan Astro yang akan disiarkan tidak lama lagi.

“Saya tak kecil hati atau marah dengan kenyataannya. Itu sekadar pandangan saya dan mungkin kita susah mahu bezakan antara ayat menegur dan memberi pendapat,” katanya. – mD

One thought on “Awal Kurang Profesional, Tidak Berfikiran Terbuka – Azrul

  • December 6, 2014 at 11:34 am
    Permalink

    Sebelum bercakap tu fikir dulu. Setiap rezeki tu ALLAH yang tentukan. Rezeki masing2. Kenapa nak salahkan pelawak pulak bila ko tak terpilih sebagai salah seorang pengacara! Ko pun bukan hebat sgt sebagai pelakon mahupun pengacara! Pengacara MELODI ape la sgt! Bengong le jwbnya! Sebenarnya Awal Ashaari dah tergugat sbb duit tak masyuk nak bagi kemewahan kepada anak dia yang terlalu diberikan kemewahan sejak lahir.. tengoklah diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain. Orang kata bermuhasabah diri hidup jgn berlebih2an sekadar ikut kemampuan diri sendiri..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.