Terima Kekalahan Juga Sebahagian Demokrasi – Tun M

KUALA LUMPUR 2 Dis. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, menerima kekalahan dalam pilihan raya merupakan sebahagian daripada demokrasi yang perlu diamalkan oleh ahli politik bagi memastikan kestabilan pemerintahan sesebuah negara tidak terjejas.

Dr. Mahathir berkata, pemimpin yang kalah perlu menerima kekalahan dengan hati terbuka dan bertanding pada pilihan raya seterusnya.

“Kita harus ingat, jika kerajaan dipilih oleh rakyat dijatuhkan melalui demonstrasi jalanan, pihak lain juga akan melakukan perkara yang sama.

“Jadi tidak akan wujud kerajaan yang stabil dan rakyat akan menderita,” katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersama delegasi Forum Antarabangsa UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Dr. Mahathir juga melahirkan rasa sedih kerana banyak negara membangun bergolak gara-gara pemimpin yang tidak dapat menerima kekalahan.

Sehubungan itu beliau berharap para delegasi dapat merasai demokrasi di Malaysia walaupun tidak sempurna tetapi ia lebih baik daripada politik jalanan.

“Saya sendiri tidak suka sesetengah perkara dalam demokrasi di Malaysia, tetapi ia lebih baik daripada membawa penyokong ke jalanan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.