JDT Juara Piala Malaysia 2019

KUALA LUMPUR – Aksi final yang berat sebelah! Itu gambaran yang boleh diberikan untuk perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Ia susulan prestasi skuad Helang Merah yang seakan bukan tandingan buat Harimau Selatan selepas tewas mudah 3-0.

Namun, ini bukan kekalahan terbesar yang berlaku di pentas final Piala Malaysia dengan Kedah pernah menewaskan Perak 3-0 pada 2007 dan Singapura pernah meraih kemenangan 4-0 ke atas Pahang pada 1994.

Turun tanpa dua tonggak pertahanan, Renan Alves dan Rizal Ghazali, Kedah terus menerima tamparan hebat apabila kehilangan khidmat Azmeer Yusof yang terpaksa dikeluarkan hanya selepas 16 minit permainan akibat kecederaan.

Faktor itu mungkin menjadi antara punca benteng Kedah tampak mudah ditembusi jentera serangan JDT yang membuka tirai jaringan menerusi Leandro Velazquez pada minit ke-27.

Selain kelonggaran di bahagian pertahanan, anak buah Aidil Sharin Sahak juga dilihat buntu untuk mengatur serangan yang menyaksikan tidak banyak percubaan berbahaya dapat dilakukan pada terutama di babak pertama.

Sebaliknya, JDT yang jelas menguasai permainan berjaya mengukuhkan kedudukan selepas sepakan percuma Safawi Rasid gagal diselamatkan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-35.

Kealpaan benteng pertahanan Kedah terus dihukum pada minit ke-58 menerusi jaringan Syafiq Ahmad untuk meletakkan JDT mendahului 3-0, sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya Harimau Selatan.

Ia adalah kejuaraan Piala Malaysia kedua yang dimenangi JDT selepas turut menewaskan Kedah 2-0 di pentas final, dua tahun lalu.

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.