Unsur Sabotaj Terhadap Azmin Dalam Pemilihan PKR Cukup Serius, Kata Ezam Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Hisbah Centre for Reform (Hisbah) melahirkan kerisauan terhadap dakwaan berlakunya unsur-unsur sabotaj dalam Pemilihan PKR kerana dilihat berupaya menggugat usaha reformasi yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, ini memandangkan PKR merupakan parti komponen terbesar Pakatan Harapan dengan memiliki wakil teramai dalam Parlimen.

Beliau juga bekas ahli PKR tanpa berselindung memberikan contoh mendakwa Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali paling hebat diserang, dengan unsur-unsur sabotaj terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu agak ketara.

“Dakwaan bersama bukti unsur-unsur sabotaj ini datang daripada pemimpin besar parti itu sendiri dan ini tentunya mengundang perhatian serius dari kami di Hisbah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

“Kita mempunyai alasan untuk merasa bimbang tentang wujudnya unsur sabotaj ini sebagai sebahagian dari agenda besar bertujuan membantut dan merosakkan agenda reformasi yang sedang rancak dilakukan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Ezam bagaimanapun tidak memperincikan bentuk sabotaj yang dilakukan khususnya kepada Mohamed Azmin serta tidak menamakan siapakah pemimpin besar dalam PKR yang terlibat.

Beliau mengingatkan kemungkinan terdapatnya muslihat daripada mereka yang baru kehilangan kuasa, yang menggunakan segala kemampuan untuk memastikan usaha kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan reformasi terjejas dengan cara menjejaskan anggota Kabinet.

Pertubuhannya menggesa pihak berkuasa mengambil serius pelbagai laporan sabotaj yang dibuat dalam pemilihan PKR dan mengambil tindakan tegas.

“Tindakan ini tidak boleh dilihat sebagai mencampuri hal ehwal dalaman parti politik kerana beberapa peristiwa dan bukti yang ditampilkan memperlihatkan unsur sabotaj yang bukan sahaja memberi kesan kepada parti, tetapi lebih penting memberi kesan negatif kepada kerajaan,” katanya. – UTUSAN

One thought on “Unsur Sabotaj Terhadap Azmin Dalam Pemilihan PKR Cukup Serius, Kata Ezam Mohd Nor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.