Tidak Cukup Lagikah Usaha Malaysia Kekang Diskriminasi?

KUALA LUMPUR – Keputusan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hanya akan menjerat negara pada terma-terma yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan terutama melibatkan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.

Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, apakah tidak cukup lagi usaha Malaysia sebelum ini mengekang elemen diskriminasi sehingga ada percubaan meratifikasi konvensyen ini dibuat.

“Bahkan, Malaysia pergi lebih jauh dari itu memainkan peranan di pentas antarabangsa menentang penindasan dan kezaliman ke atas masyarakat Islam Rohingya di Myanmar, dasar apartheid di Afrika Selatan dan pembersihan etnik di Bosnia dan Herzegovina awal 90-an,” tegasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan usaha-usaha pihak tertentu yang dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk meratifikasi ICERD di negara ini.

”Adakah hak bukan bumiputera telah dinafikan oleh kerajaan atau menteri yang berkenaan mahu mengusahakan sesuatu yang belum dituntut oleh kaum-kaum dalam kontrak sosial.

“Maka kali ini, beliau nampak usaha itu boleh dicapai melalui cara menandatangani konvensyen seperti ICERD ini,” katanya.

Katanya, beliau percaya sekiranya ia dilaksanakan bukan sesuatu yang mustahil jika Perkara 153 (Hak-hak keistimewaan orang Melayu), Perkara 152 (Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan),  Perkara 89 (Tanah Rizab Melayu) dan Perkara 3(1) (Islam sebagai Agama Persekutuan) nanti akan dibaca sebagai satu bentuk diskriminasi mengikut acuan Barat.

”Ia susulan Perkara 2.2 ICERD yang mengungkapkan bahawa segala bentuk diskriminasi kaum mesti dihentikan selepas tempoh masa tertentu,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.