“Terima Kasih Menteri MITI Puji BN”, Kata Najib

SHAH ALAM – Datuk Seri Najib Razak mengucapkan terima kasih kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking yang memuji sumbangan BN kerana meletakkan Malaysia di landasan yang baik.

Mantan perdana menteri itu merujuk kepada kenyataan Leiking yang memetik laporan Bank Dunia ‘Doing Business’ 2019, yang meletakkan Malaysia di tangga ke-15 terbaik daripada 190 negara.

“Beliau puji dan kata Malaysia kini berada di landasan baik untuk jadi negara ‘Harimau Asia’ yang digeruni.

“Bank Dunia meletakkan Malaysia di tangga ke-15 dalam Laporan ‘Doing Business’ 2019, melonjak naik daripada tangga ke-24,” katanya dalam Facebook.

Bagaimanapun kata Najib, setelah diteliti, rupa-rupanya laporan Bank Dunia itu adalah berdasarkan prestasi Malaysia dari tahun 2017 sehingga 1 Mei 2018, iaitu ketika Malaysia masih di bawah teraju BN.

“Pada asalnya saya ingat hebat juga Menteri kita ini, begitu besar sumbangannya dalam 5 bulan ini.

“Saya pun belek laporan ini sebentar tadi. Rupa-rupanya Bank Dunia memberi kejayaan ini berdasarkan prestasi Kerajaan BN dari tahun 2017 hingga 1 Mei 2018.

“Kalau tidak rajin membaca, maka sesatlah jalan. Sila rujuk muka surat 5 ya Menteri,” katanya sambil menyertakan pautan laman web laporan berkenaan.

“Dan seingat saya, Menteri ini dilantik pada 2 Julai 2018.

“Tapi tak apalah. Bagilah dia bergembira. Sekurang-kurangnya dia puji Kerajaan BN kerana meletakkan Malaysia di landasan baik selama ini,” kata Najib. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.