Najib Kembali Popular Selepas Jadi Pembangkang?

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini dilihat kembali popular selepas menjadi pembangkang terutamanya di media sosial.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, rentetan itu, perkara ini harus dipandang serius oleh kerajaan.

Katanya, popularnya Najib bererti kurangnya penekanan serius Kabinet ke atas isu-isu tertentu yang utama dan prestasi kabinet pula nampak kurang menyerlah.

“Meskipun Najib makin popular, ia tetap tidak memberi impak kepada pembangkang, kerana jangka waktu pilihan raya yang masih jauh,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya,  Najib akan menghantui kerajaan sedia ada selagi beliau berada di Parlimen, dan ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh pihak kerajaan.

“Popularnya Najib bererti kerajaan perlu pertingkatkan capaian mereka kepada rakyat dan melakukan sesuatu bagi mengimbangi cara kerajaan Najib mendekati rakyat bawahan.

“Sesuatu harus digerakkan oleh semua menteri bagi menjadi pentadbir yang cekap dalam menaikkan imej kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Jelasnya, segelintir menteri kelihatan masih “bersuka ria” dan bersikap seolah kabinet adalah taman permainan.

Najib yang juga merupakan ahli Parlimen Pekan kini aktif menjawab sebarang persoalan mengenai isu yang berbangkit mengenai kerajaan terdahulu BN dan isu-isu semasa.

Beliau juga amat aktif di media sosial, dan nampaknya perkongsian beliau mengenai sesuatu isu sering mendapat perhatian netizen rentetan penjelasannya yang bersahaja kadangkala sinikal. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.