Inti Pati Belanjawan 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini membentangkan Belanjawan 2019 bertemakan Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera.

Berikut ialah inti pati Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Hutang dan liabiliti sebenar Kerajaan sehingga akhir Jun 2018 adalah RM1,065 bilion, iaitu hampir RM350 bilion lebih tinggi daripada jumlah yang didedahkan secara rasmi oleh Kerajaan terdahulu.

Perincian hutang ini merangkumi RM725.2 bilion hutang langsung Kerajaan Persekutuan, RM155.8 bilion komitmen luar jangka dan RM184.9 bilion liabiliti lain termasuk bayaran pajakan bagi projek Kerjasama Awam Swasta (PPP).

Kerajaan mendapati pentadbiran terdahulu telah secara rahsia membayar hutang 1MDB hampir RM7 bilion sehingga 30 April 2018.

Kerajaan juga mendapati bahawa negara mungkin perlu membayar sehingga RM43.9 bilion lagi bagi menyelesaikan hutang 1MDB ini.

Kerajaan unjur Keluaran Dalam Negara Kasara (KDNK) Berkembang 4.9 peratus pada 2019.

Kerajaan akan membentangkan Akta Kebertanggungjawaban Fiskal pada 2021

Kerajaan akan membentangkan Akta Perolehan Kerajaan pada tahun depan

Kerajaan akan melaksanakan perakaunan akruan bagi menggantikan perakaunan asas tunai bermula 2021.

Defisit fiskal 2018 dijangka mencapai 3.7 peratus disebabkan komitmen perbelanjaan kerajaan terdahulu.

Kerajaan komited laksana langkah konsolidasi fiskal untuk kurangkan defisit kepada 3.4 peratus pada 2019, 3.0 peratus pada 2020 dan 2.8 peratus pada 2021.

Kerajaan Persekutuan terus beri jaminan pembiayaan untuk projek infra yang sedang dalam pembinaan seperti MRT2 dan LRT3.

Kerajaan akan mewujudkan pejabat pengurusan hutang untuk menyemak dan menguruskan hutang serta liabiliti kerajaan.

Projek Landasan Berkembar Lembah Kelang 2 akan ditender semula melalui tender terbuka.

1MDB dan kerajaan Malaysia tidak akan membayar baki US$4.32 bilion kepada IPIC dan Aabar Investment PJS, dan akan menuntut pemulangan US$1.46 bilion yang telah dibayar.

Hutang langsung Kerajaan Persekutuan mencatat RM687 bilion atau 50.7 peratus daripada KDNK pada akhir 2017.

Hutang rasmi Kerajaan Persekutuan dijangka mencatat 51.8 peratus daripada KDNK pada 2019.

Jumlah liabiliti akan berkurangan kepada 73.5 peratus tahun depan berbanding 74.6 peratus yang dijangka pada akhir 2018.

Kerajaan akan mengurangkan pegangan dalam syarikat bukan strategik.

Model Kerjasama Awam-Swasta akan dijalankan secara tender terbuka dan bukannya kaedah rundingan terus.

Penyedia perkhidmatan atas talian asing akan dikehendaki mendaftar dengan kastam, mengenakan dan meremit cukai perkhidmatan mulai 1 Januari  2020.

Kerajaan akan lancar program khas Pengakuan Sukarela untuk pembayar cukai mengisytiharkan sebarang pendapat yang tidak dilaporkan.

Malaysia akan melaksanakan Pertukaran Maklumat Secara Automatik dengan pihak percukaian lain yang membolehkan audit dan siasatan.

Kerajaan akan mengkaji lebih 130 jenis skim fiskal sokongan pelaburan yang dikendali 32 agensi penggalakan pelaburan bagi memastikan insentif cukai relevan dan tiada pertindihan.

Kadar Cukai Keuntungan Harta Tanah dinaikkan kepada 10 peratus daripada lima peratus bagi syarikat, individu bukan warganegara dan bukan pemastautin tetap dalam tahun keenam dan ke atas.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.