“Bukankah Ini Malaysia Baru Yang Bebas Dan Tolaren?”, Reaksi Kadir Jasin Selepas Dikecam Isu Sultan Kedah

SHAH ALAM – “Itu hak dia,” demikian reaksi Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Datuk A. Kadir Jasin mengenai gesaan pemimpin PKR, Datuk Johari Abdul yang meminta polis menyiasat beliau di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung penyiaran rencana mengenai istiadat pertabalan Sultan Kedah.

Kadir berkata, Ahli Parlimen Sungai Petani itu bebas untuk melontarkan pandangan pada era ‘Malaysia Baru yang bebas dan toleran’.

“Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul (Pakatan Harapan-PKR) menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat saya di bawah Akta Hasutan kerana menyiarkan rencana ini. 

“Dia mendakwa rencara ini secara tidak langsung boleh mencetuskan prasangka buruk terhadap Sultan Kedah (baca di sini). 

“Itu hak dialah. Bukankah ini Malaysia baru yang bebas dan tolaren?,” katanya menerusi blog beliau, kadirjasin.blogspot.com.

Dalam masa yang sama, Kadir mempertahankan penulisan rencananya yang bertajuk ‘Rakyat perlu tahu peruntukan belanja buat raja’ itu.

Jelas Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri itu, rencana tersebut langsung tidak menyebut mahupun menuduh mana-mana raja menyalahgunakan kedudukan sebagaimana dakwaan beberapa pihak. 

“Saya tak sikit pun sebut apatah lagi menuduh mana-mana raja berada dalam bilik lembaga, atas padang bola, dalam arena politik negara atau mencari bijih dan balak dalam hutan belantara.

“Untuk maklumat, saya hanya bertanggungjawab ke atas apa yang saya tulis dan siarkan di dalam blog ini saja.

“Saya tidak bertanggungjawab ke atas petikan blog saya yang disiarkan oleh akhbar atau portal berita lain. Tapi rasanya ada orang yang marah dan mahu saya disiasat tidak baca tulisan asal saya,” katanya.

Bekas tokoh wartawan itu bagaimanapun berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk memohon maaf sepertimana desakan segelintir pihak.

“Namun begitu, saya tidak ada masalah untuk memohon maaf walaupun tidak bersalah seandainya permohonan maaf saya itu boleh membantu menjernihkan yang keruh.

“Saya juga ambil maklum kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bahawa upacara pertabalan itu tidak membebankan kewangan kerajaan negeri. Terima kasih,” katanya.

Semalam, Johari menggesa pihak polis menyiasat Kadir di bawah Akta Hasutan ekoran penulisan blog beliau boleh mencetuskan prasangka buruk terhadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Tidak lama kemudian, UMNO Kedah turut mengecam tindakan Kadir dan menggesa beliau memohon maaf kepada Sultan Kedah dan menarik balik rencana berkenaan. -SuaraTv 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.