Bajet 2019: Pakar Ekologi Harap Putrajaya Fokus Isu Alam Sekitar

PETALING JAYA: Seorang pakar ekologi dan pencinta alam sekitar berharap kerajaan Pakatan Harapan akan menyediakan peruntukan kepada pihak berkuasa terbabit dalam pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar.

Andrew Sebastian berkata, Malaysia antara 12 negara di dunia yang kaya dengan sumber alam semula jadi, oleh itu kerajaan perlu menyediakan peruntukan untuk mengelakkan pencemaran dan hakisan berterusan.

Beliau juga berharap kerajaan dapat menaikkan gaji penguatkuasa di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) serta Jabatan Alam Sekitar bagi mengelakkan gejala rasuah yang menyebabkan kegiatan pembalakan haram dan penerokaan hutan berleluasa.

“Pemburuan haram masih berleluasa dan memerlukan peruntukan untuk tambah jumlah kakitangan dan peralatan.

“Pekerja lapangan perhilitan perlu diambil kira untuk dinaikkan gaji supaya gejala rasuah dapat dielakkan secara berperingkat,” katanya kepada FMT menjelang pembentangan Bajet 2019 esok.

Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar memerlukan peruntukan besar untuk memantau dan mengawal pencemaran alam, sungai, hakisan tanah, pantai serta lereng bukit.

“Jabatan Perikanan dan Jabatan Taman Laut juga perlu bajet besar bagi pengendalian taman laut, pemantauan dan penambahbaikan, serta lebih fokus kepada perubahan iklim agar dapat menyelamatkan batu karang dan hidupan laut yang terancam.”

Pada 19 Oktober lalu, kejadian tanah runtuh di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, Paya Terubong, Pulau Pinang meragut 9 nyawa, manakala 4 lagi cedera.

Kejadian pada jam 1.56 tengah hari itu turut menimbus 13 kontena dan sebuah rumah kongsi.

Sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan Pulau Pinang untuk menyiasat punca tragedi itu akan memulakan sesi pendengaran Khamis depan.

Hari ini, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata, jawatankuasa itu mempunyai tempoh sebulan sehingga akhir bulan ini untuk melengkapkan siasatan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perunding dan Syarikat Alam Sekitar Malaysia, Datuk Dr Nadzri Yahaya berkata, pemuliharaan alam perlu diketengahkan dalam usaha melindungi alam sekitar daripada dimusnahkan manusia sendiri.

Katanya, kerajaan perlu menjalankan kajian menyeluruh bagi mengenal pasti kawasan terhakis dan mencari jalan mengelakkan ia berlarutan.

“Pemuliharaan alam sekitar bukan hanya melihat isu plastik, tetapi penghakisan tanah runtuh juga perlu dilihat dalam Bajet 2019 bagi mendapat jawapan menyeluruh untuk mengenal pasti kawasan yang selalu menghadapi masalah tanah runtuh,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau juga berharap kerajaan akan memberi insentif kepada rakyat untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

“Kerajaan sedang membuat paten untuk teknologi elektrik, jadi kita berharap terdapat insentif untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.