Sebanyak 255,341 Unit Rumah Mampu Milik Siap Dibina

KUALA LUMPUR – Sebanyak 255,341 unit rumah mampu milik (RMM) telah siap, dari 1 Januari 2013 sehingga 15 Oktober lalu.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan akan terus komited untuk menepati janjinya bagi membina 1 juta unit RMM, melalui Program 1 Juta Rumah Mampu Milik.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 285,097 unit sedang dalam pembinaan, 138,775 unit dalam baki komitmen dan 432,415 unit dalam perancangan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Khalid Abd Samad (Amanah-Shah Alam) yang meminta kerajaan untuk menyatakan perancangannya untuk membina 1.5 juta buah rumah mampu milik yang dijanjikannya sebelum ini menjelang tahun 2018.

Bagaimanapun, Noh menegur Khalid bahawa kerajaan menjanjikan untuk membina 1 juta unit RMM dalam tempoh lima tahun, dan bukannya 1.5 juta unit.

“Namun permintaan meningkat daripada rakyat, kerajaan akan tambah sasaran sebanyak 1.5 juta RMM, seperti yang diperkatakan oleh Yang Berhormat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegur segelintir kerajaan negeri kerana kurang bekerjasama kepada kerajaan pusat untuk membina RMM.

Namun, Noh memuji kerajaan Kelantan kerana memudahkan proses kerajaan Pusat untuk membina RMM, demi kepentingan rakyat dan meminta kerajaan negeri memberi kerjasama baik kepada kerajaan Pusat untuk membina RMM di negeri mereka. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.