Rela Dipersalahkan Tapi Tak Mau Minta Maaf

Meskipun dikritik hebat dan diminta memohon maaf kepada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa Operasi Lalang, Pengerusi Pakatan Harapan, Mahathir Mohamad enggan meminta maaf namun sebaliknya beliau rela dipersalahkan di atas siksaan yang dialami oleh tahanan berkenaan.

Apa bezanya antara rela dipersalahkan dengan meminta maaf? Apa yang dituntut oleh tahanan Ops Lalang pada 30 tahun lepas ialah permohonaan maaf secara terbuka oleh Mahathir yang merupakan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, ketika Ops Lalang dijalankan pada 1987.

Jika beliau mengaku rela dipersalahkan pun, kenapa selepas 30 tahun? Kenapa beliau tidak mengakuinya ketika ada peluang sebelum ini dan ketika beliau dikecam hebat oleh tahanan serta pembangkang pada masa itu?

Untuk rekod, sebanyak 106 orang telah ditahan tanpa bicara manakala lesen penerbitan tiga buah akhbar ditarik balik semasa Op Lalang diadakan pada 27 Oktober 1987.

Hanya kerana mahu memancing undi, Mahathir yang sudah masuk kem pembangkang, rela pula dipersalahkan. Beliau sanggup melakukannya demi DAP.

Tapi untuk PKR, sehingga sekarang Mahathir tidak meminta maaf kepada Anwar Ibrahim, yang pernah dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada dua dekad yang lalu dan kemudian menjalani hukuman penjara atas tuduhan liwat.

Dalam kes Anwar, Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyifatkan ia sebagai satu “kejadian masa lalu”.

Sementara dalam isu Op Lalang, Mahathir sekali lagi cuba mengelak diri dengan memberitahu bahawa keputusan untuk menangkap seseorang bukan terletak di tangannya dan kononnya beliau sendiri pernah bertanya kepada polis sama ada ISA wajar dihapuskan atau tempoh penahanan dipendekkan menjadi setahun.

“Mereka (polis) tidak setuju,” kata Mahathir dalam catatan terbaru di blog beliau.

Jika Mahathir betul-betul serius, sudah lama beliau memansuhkan ISA. Namun beliau tidak berbuat demikian hingga digelar sebagai maha zalim dan maha firaun serta diktator.

Yang menggelarnya diktator itu pula kini duduk semeja dengan Mahathir iaitu Lim Guan Eng yang pernah menjadi mangsa tahanan Op Lalang itu.

Hanya pada 2011, ISA dan Akta Buang Negeri 1959 telah dimansuhkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan perdana menteri pada 3 April 2009, ISA akan dikaji secara komprehensif.

“Suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus,” katanya dalam ucapan perutusan khasnya sempena Hari Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi RTM1, pada 15 September 2011.

Ketika Najib mengumumkan pemansuhan ini, ia disambut baik oleh rakyat termasuk pembangkang sendiri. Ia menunjukkan kesungguhan beliau dalam isu ISA ini.

Justeru, tidak perlulah Mahathir berdolak dalik dalam isu Op Lalang ini. Bekas tahanan dalam operasi menuntut beliau meminta maaf. Mereka tidak peduli pun sama ada beliau rela dipersalahkan atau tidak, kerana penderitaan yang mereka alami dulu, bukan senang untuk dilupakan.

Walaupun 30 tahun telah berlalu, tetapi di hati dan ingatan mereka, tahanan ISA itu tidak mungkin akan melupakan penderitaan yang mereka alami.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.