PPBM Gagal Buat Mesyuarat Agung, Ahli Lapor Kepada ROS

PUTRAJAYA – Beberapa pimpinan bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Johor, semalam membuat laporan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung kegagalan parti itu mengadakan mesyuarat agung sama ada di peringkat cawangan, bahagian mahupun pusat.

Ketua Penerangan PPBM Bahagian Kluang, Arjuna Putra Ali berkata mengikut Akta Pertubuhan 1967 dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, parti itu sepatutnya mengadakan mesyuarat agung tahunan selewat-lewatnya 9 Sept lepas, iaitu dalam tempoh setahun selepas penubuhan parti.

“Setakat ini, kepimpinan PPBM telah mengadakan satu perhimpunan di Muar tetapi ia hanyalah sambutan hari jadi dan bukan mesyuarat agung seperti dikehendaki,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu, di sini semalam.

Arjuna Putra berkata dokumen yang diserahkan kepada RoS termasuk 358 aduan bertulis yang diterima daripada tujuh bahagian – Bakri, Kluang, Sembrong, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Ledang dan Batu Pahat.

Menurutnya isu itu telah beberapa kali diusulkan kepada kepimpinan parti, namun tiada tindakan diambil setakat ini.

Arjuna Putra berkata kegagalan mengadakan mesyuarat agung menyebabkan anggota akar umbi tidak mempunyai platform untuk menyuarakan pendapat selain tidak mengetahui status kewangan parti.

“Sehingga tarikh akhir tempoh 12 bulan selepas penubuhan, pihak PPBM tidak mewartakan penyata kewangan yang telah disahkan, rekod pihak pemberi dana dan berapakah jumlah dana disumbangkan oleh parti komponen Pakatan Harapan lain khususnya DAP.

“Berdasarkan aduan rasmi, dikatakan kemungkinan jumlah yang besar telah ditaja oleh DAP dalam melaksanakan pelbagai program PPBM sama ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan juga pusat,” katanya.

Selain itu, Arjuna Putra berkata beliau turut membuat aduan berkaitan isu pendaftaran keahlian PPBM tanpa persetujuan penama yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.