Musa Hassan Kecewa Laporan Berita Dikaitkan Dengan 9 Dragon

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meluahkan kekecewaannya apabila segelintir portal berita mengaitkan namanya dengan kongsi gelap.

Beliau berkata, tidak pernah mengesahkan kewujudan kumpulan itu sebelum ini.

“Saya amat kecewa dengan tindakan beberapa buah portal berita yang mengaitkan nama saya dengan nama “9 Dragon” baru-baru ini kerana saya tidak pernah menyebut atau mengesahkan kewujudan gerakan itu di mana-mana atau pada bila-bila masa pun sebelum ini.

“Oleh itu, saya akan mengambil tindakan memfailkan saman fitnah ke atas portal-portal terlibat kerana menyebabkan nama saya dan reputasi saya terjejas melalui laporan-laporan berkenaan,”katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurutnya, beliau hanya betkongsi dan menceritakan bagaimana beliau mengatasi masalah jenayah kongsi gelap ketika menyandang jawatan Ketua Polis Johor dengan menghasilkan satu senarai nama yang lengkap dengan nama ketua-ketua kongsi gelap berkenaan.

“Saya tidak pernah sekali pun menyebut nama 9 Dragon dalam mana-mana wawancara saya sebelum ini.

“Saya ingatkan dengan tegas supaya berhenti daripada mementingkan populariti berita daripada melaporkan fakta kerana ia akan menyebabkan situasi dalam negara menjadi tidak stabil serta ia mungkin mengganggu siasatan pihak polis ke atas kes jenayah tertentu.

“Saya tidak menyangka niat saya hendak berkongsi tentang langkah yang saya lakukan untuk banteras kongsi gelap telah disalah tafsir sehingga menyangkakan saya mengesahkan wujudnya 9 Dragon ini.

“Saya menafikan dengan tegas bahawa saya pernah menyebut atau mengesahkan bahawa 9 Dragon wujud atau ada di dalam negara ini,”katanya.

Tambahnya, beliau berharap semua portal berita berhenti dari menyebarkan berita berkenaan atau akan berdepan tindakan saman kerana menulis artikel berbaur fitnah.

“Pihak polis sentiasa menjalankan siasatan dan tegas dalam membanteras jenayah demi menjaga keselamatan serta kestabilan awam tanpa mengira peringkat umur atau kedudukan dalam politik.

” Tidak ada sesiapapun yang kebal atau terkecuali daripada penguatkuasaan undang-undang dalam perkara membasmi jenayah,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.