MP: Periksa Guru Sebelum Masuk Kerja

Kerajaan digesa melaksanakan pemeriksaan prapekerjaan secara mandatori terhadap guru dan mereka yang terbabit dengan kanak-kanak.

Anggota Parlimen Klang Charles Santiago berkata cadangan perlaksanaan itu boleh dimulakan dengan guru-guru, tadika dan mereka yang terbabit dengan kanak-kanak.

“Walaupun kita mempunyai Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, tapi nampaknya ia tidak mencukupi untuk mengawal tingkah laku seksual pemangsa yang mempunyai kuasa, dalam kes ini guru.

“Saya fikir kita harus menjadi lebih serius dan mengetatkan penguatkuasaan. Saya menyeru kerajaan untuk memulakan pemeriksaan prapekerjaan secara mandatori terhadap guru dan mereka yang bekerja untuk kanak-kanak,” katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Terbaru, seorang guru sebuah sekolah Tamil dilaporkan menjanjikan pekerjaan kepada seorang remaja dengan syarat pelajar itu menyerahkan tubuhnya.

Lelaki 56 tahun itu yang juga pemimpin cawangan MIC membuat janji tersebut kepada ibu gadis berkenaan sebelum rakaman audio perbualan mereka tersebar luas melalui aplikasi mesej WhatsApp.

Dalam rakaman audio 8 minit 49 saat, lelaki itu memberitahu dia telah membantu banyak gadis, yang selesai menduduki peperiksaan SPM mendapat pekerjaan setelah mereka mengadakan hubungan seks dengannya.

Gangguan seksual guru tadika

 

Sementara itu, Charles turut mendakwa terdapat ibu bapa dan sumber yang memaklumkan padanya bahawa anak-anak mereka mengalami gangguan seksual daripada guru tadika.

“Ini sangat ketara, kelihatan sistematik dan merentasi sistem. Oleh itu adalah perlu untuk campur tangan daripada kerajaan. Saya fikir ia bukan sesuatu yang perlu kita ambil ringan,” katanya.

Tahun lalu, Reuters melaporkan 12,987 kes melibatkan jenayah seksual kanak-kanak dilaporkan kepada polis antara Januari 2011 dan Julai tahun ini.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.