KFA Sedia Disiasat SPRM Isu Tiket Final Piala Malaysia

ALOR SETAR – Usai kekecohan ditimbulkan sesetengah pihak kononnya tiket final Piala Malaysia antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini ‘dibolot’ atau ‘disembunyi’ untuk orang tertentu, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) hari ini tampil menjelaskan perkara sebenar.

Sambil menolak kewujudan elemen penyelewengan seperti didakwa itu, Timbalan Presiden KFA, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah menegaskan bahawa pembahagian tiket itu dilakukan secara telus mengikut kuota ditetapkan.

“Kita telus tak ada berselindung, kalau nak ‘berniaga’ kita jual RM200 satu tiket tetapi ini nak naikkan RM5 pun Presiden KFA tak bagi demi penyokong Kedah.

“Kita jual tiket kepada semua orang, kita tak kenal siapa pun kerana KFA bersikap terbuka. Tidak ada justifikasi atau syarat apa-apa. Mana yang hantar permit bas kita terima tidak tengok pun mereka sokong parti mana,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Darul Aman.

Tambahnya, ekoran ketelusan itu, KFA bersedia untuk memberi kerjasama ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) ekoran laporan rasuah yang dibuat beberapa penyokong semalam.

“Biar polis siasat, kalau orang lapor SPRM KFA jual tiket tidak betulkah biar mereka siasat. Kita ada sistem dan akan bagi SPRM periksa,” katanya.

Menjelaskan tentang kuota tiket itu beliau berkata, sebanyak 34,000 keping tiket diperuntukkan kepada pasukan Kedah iaitu 30,000 tiket dijual secara luar talian dan 4,000 tiket dijual dalam talian.

“Kita juga dapat permohonan banyak daripada yang tempah daftar dengan permit bas jadi 17,600 untuk 400 permit bas. Setiap badan gabungan KFA mendapat 1,800 keping tiket diberikan kepada 36 badan gabungan KFA secara keseluruhannya.

“Pemain dan pegawai mendapat 1,200 tiket, ahli badan eksekutif (700 tiket), kakitangan KFA (200 tiket) dan penaja (500 tiket). Jadi baki 8,000 tiket dijual di lapan kaunter jualan semalam,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.