Ejen Korea Utara Dihantar Untuk Bunuh Anak Lelaki Jong-nam

Pihak berkuasa China dilaporkan berjaya menggagalkan cubaan membunuh anak saudara pemimpin Korea Utara iaitu anak lelaki kepada Kim Jong-nam yang dibunuh di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (klia2), Februari lalu.

Bloomberg yang memetik akhbar Korea Selatan JoongAng Ilbomelaporkan polis China menahan beberapa ejen warga Korea Utara yang dihantar ke Beijing disyaki untuk membunuh Kim Han-sol yang berusia 22 tahun, lapor MD.

Dua daripada tujuh ejen tersebut ditangkap di Beijing atas plot cubaan membunuh Han Sol, lapor agensi berita itu, kelmarin.

Difahamkan, sumber memberitahu bahawa ejen khas tersebut cuba menyusup masuk untuk membunuh Han-sol, namun cubaan tersebut berjaya dipatahkan.

Suspek kini disiasat di pusat khas di pinggir Beijing, namun tidak dinyatakan sama ada lima lagi suspek sudah berjaya ditangkap atau sebaliknya, lapor agensi berita tersebut.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan bahawa Pegawai kerajaan Korea Selatan membuat spekulasi bahawa dalang disebalik pembunuhan Jong-nam adalah Kim Jong Un, yang didakwa tidak berpuas hati selepas abang tirinya itu menjadi pengkritik utama terhadap kepimpinannya selama bertahun-tahun.

Jong-nam dan keluarganya meninggalkan Korea Utara sekitar tahun 2000 setelah disisihkan oleh bapanya Kim Jong-il.

Sementara Han-sol mencuri perhatian selepas muncul dalam satu rakaman video di Youtube pada Mac lalu dengan memperkenalkan dirinya sebagai anak kepada Jong-nam.

Media melaporkan dalam rakaman tersebut Han-sol turut menunjukkan pasport sebagai membuktikan dirinya adalah anak kepada Jong-nam.

“Nama saya Kim Han-sol dari Korea Utara dan ahli keluarga Kim (Jong-nam). Bapa saya dibunuh beberapa hari lalu. saya kini berada bersama ibu dan adik perempuan. Kami berterima kasih..,” katanya sebelum audio berdurasi 40 saat itu secara tiba-tiba putus.

Agensi risikan Korea Selatan mengesahkan individu dalam video itu sebagai Han-sol.

Susulan pembunuhan tersebut, dua wanita warga asing, Doan Thi Huang, 29 (warga Vietnam); dan Siti Aishah, 25 (warga Indonesia) ditahan dan kini didakwa membunuh Jong-nam dengan bertindak menyapu cecair beracun dikenali agen saraf VX pada muka mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi pada 13 Februari lalu, Jong-nam yang menggunakan pasport tertera nama Kim Chol meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dua wanita warga asing itu mengaku tidak bersalah membunuh Jong-nam. Perbicaraan mengenai kes tersebut masih berlangsung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.