Beri Masa, Jangan Tahu Kritik Sahaja

MENGALAS tanggungjawab sebagai seorang pelakon dan perlu beraksi di hadapan lensa kamera bukan satu tugas mudah malah tidak semua orang mampu melakukannya. Mereka yang berjiwa kental dan memiliki ‘hati kering’ sahaja yang mampu bertahan.

Lebih-lebih lagi dengan cemuhan dan kritikan yang dilemparkan bertalu-talu khususnya di laman sesawang, tentu sahaja seseorang artis perlu berlapang dada menerimanya demi kelangsungan masa depan dan menjaga periuk nasi.

 

Bagi insan bernama Noor Neelofa Mohd. Noor ini, dia juga tidak lepas daripada menjadi mangsa rasa tidak puas hati penonton yang menyaksikan lakonannya pada layar kaca.

Bagaimanapun anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu tidak melihat komen negatif yang dilemparkan sebagai satu alasan untuk membuatkan karier seni jatuh merudum.

Sebagai insan seni, dia perlu peka dan menelan semua pandangan netizen terhadapnya biarpun pahit.

“Saya tidak ambil kisah kritikan yang dilemparkan, malah komen netizen tidak memberi kesan dalam hidup saya.

“Lebih baik saya ambil pendekatan untuk tidak memberikan sebarang reaksi terhadap komen yang tak membantu seperti itu,” jelasnya.

Selepas kejayaan drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot, Neelofa kini muncul pula menerusi drama Red Velvet yang kini ditayangkan di Astro Ria.

Drama 20 episod arahan Hadith Omar itu merupakan adaptasi daripada novel dengan judul sama karya Acik Lana.

Seperti drama Suri Hati Mr. Pilot, Red Velvet turut menerima nasib sama apabila penonton menjadikan media sosial sebagai medan untuk melepaskan komen provokasi yang tidak sepatutnya terhadap pelakon tersebut.

Antara topiknya, Neelofa dilabelkan sebagai seorang pelakon ‘kayu’, lakonan wanita berusia 28 tahun itu pelik dan tidak sesuai digandingkan dengan Alif Satar.

Tidak terus melenting, pelakon yang juga usahawan terkenal ini menitipkan nasihat buat khalayak agar memberi sedikit masa untuk drama terbabit berkembang.

“Mereka yang komen itu terlalu cepat membuat andaian. Drama ini baharu ditayangkan, bagilah masa untuk plot cerita itu berkembang. Orang kita hanya pandai nak kritik tanpa hadam dan faham karya yang disajikan kepada penonton.

“Nasihat saya kepada semua, tonton dulu cerita itu dan cuba fahamkan sebelum membuat sebarang ulasan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi baharu Naelofar Hijab iaitu Helena yang merupakan nama wataknya dalam drama Red Velvet.

 

BARU sahaja pulang dari Boston, Amerika Syarikat, Neelofa diundang oleh pihak majalah Forbes untuk menjadi salah seorang jurucakap ketika menghadiri forum Forbes Under 30 Summit pada 3 Oktober lalu.

Neelofa merupakan salah seorang daripada 7,000 anak muda yang berhimpun dalam sebuah majlis penuh berprestij untuk berkongsi kisah kejayaan yang boleh dijadikan inspirasi.

Berpeluang berdiri di pentas selama 10 minit, dia berkongsi tentang topik Fashioning The Future dan terpanggil untuk bercerita tentang hijab.

“Saya dipanggil untuk bercakap secara global tentang fesyen berhijab dan bagaimana saya menjadi inspirasi kepada wanita bertudung.

“Saya kongsi kisah tentang mahu mengubah persepsi orang tentang stail pemakaian hijab mengikut trend terkini.

“Kalau dulu ada tanggapan orang yang memakai tudung tidak boleh berkawan dengan perempuan tidak berhijab, saya ubah persepsi itu.

“Dulu semasa saya baru pakai tudung, saya masih lagi keluar dengan kawan yang seksi dan tak bertudung. Saya nak tunjukkan kepada mereka walaupun bertudung litup, saya boleh jadi diri sendiri,” kongsinya.

Malah mengulas mengenai penglibatan dalam dunia seni pula, Neelofa turut berkongsi pada forum terbabit bahawasanya tiada kekangan untuk dia terus bersosial walaupun memakai tudung.

“Dalam industri hiburan, saya masih lagi mengacarakan program MeleTop, masih bercakap tentang muzik, filem dan gosip. Maksudnya di sini, tiada salah pun orang yang pakai tudung bercakap tentang semua itu.

“Saya ada penata gaya sendiri yang akan mengayakan stail saya. Jadi dari situ orang melihat pemakaian hijab masih lagi boleh bergaya dan mengikut trend fesyen terkini.

“Itu antara pengisian yang saya kongsikan ketika berada di Boston dan berdiri di pentas bersama-sama wakil negara lain,” ujarnya teruja.-Utusan

 

 

One thought on “Beri Masa, Jangan Tahu Kritik Sahaja

  • July 9, 2018 at 11:59 pm
    Permalink

    pelokon malaysia ni kekwa kepuh kecuh lebih… bagus tak mana pun… eloklah henti lakon …. lebih sudu dari kuah.. kualiti haprak..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.