Anak Cederakan Ibu Bapa Akibat Buat Laporan Dadah

Seorang anak berusia 28 tahun sanggup mencederakan kedua ibu bapanya hingga parah di Kampung Baru Sri Muda, Sungai Korok, di Jitra, pagi semalam selepas berang apabila mangsa membuat laporan mengenai aktiviti dadahnya hingga menyebabkan dia ditahan beberapa bulan yang lalu.

Ketua Polis daerah Kubang Pasu, Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan laporan yang dibuat oleh ibu bapanya, menyebabkan suspek ditahan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Mohd Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira 11 pagi selepas anggotanya yang sedang bertugas di Pondok Polis Sungai Korok, di Jitra menerima laporan orang awam berhubung kejadian seorang anak menetak ibu bapanya di kampung tersebut.

“Anggota kami kemudian bergegas ke rumah mangsa dan menemui ibu suspek berusia 64 tahun dalam keadaan lemah dan berdarah pada bahagian muka berada dalam rumah jiran sebelah dan melihat seorang lelaki (suspek) sedang duduk mencangkung di hadapan rumah dengan gergaji besi di sebelahnya.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah mangsa menemui mangsa lelaki (bapa suspek) berusia 67 tahun terbaring di dapur rumah sebelum menahan ssupek dan merampas sebilah parang bersama penimbang air (alat ukuran air),” katanya kepada pemberita di Jitra semalam.

Mohd Ismail berkata siasatan awal mendapati suspek mengamuk ketika ibunya sedang memasak di dapur.

“Suspek mengaku menetak ibunya menggunakan gergaji di bahagian belakang badan dan kemudian memukul bapanya menggunakan penimbang air… menyebabkan ibu suspek cedera di bahagian pipi kanan disyaki terkena senjata tajam, luka di bahu serta lebam-lebam di seluruh badan akibat dipukul hingga ibu jari tangan kanan dan sendi jari patah.

Bapa suspek pula cedera pada bahagian urat perut yang pecah dan dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar,” katanya dan menambah suspek juga positif dadah jenis ganja, heroin dan syabu selepas menjalani ujian air kencing.

 

Polis turut merampas sebatang gergaji berhulu besi sepanjang 55cm dan sebatang penimbang air sepanjang 56cm yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.