3,600 Graduan Pelbagai Peringkat Dilatih Sertai Industri Rel

PUTRAJAYA – Kira-kira 3,600 graduan pelbagai peringkat akan dilatih bagi mempersiapkan mereka menyertai industri pembinaan rel menjelang 2022.

Bagi mencapai objektif itu, satu Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Malaysia Pahang (UMP), Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) dimeterai hari ini.

Pemeterian memorandum itu bakal melatih 50 pelatih menerusi Program Latihan Kemahiran Industri-ECRL untuk fasa pertama iaitu 21 pemegang diploma dan 29 pemegang ijazah sarjana muda.

“Mereka sedang menjalani latihan kemahiran selama tiga bulan di UMP bermula 25 September lalu.

“Tambahan 300 orang pelatih lagi dalam kalangan graduan dijangka memulakan latihannya untuk sesi pengambilan kedua menjelang Disember ini,” kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh kepada pemberita selepas menyaksikan MOA Tripartite di hotel Marriot Putrajaya.

Sukatan program berkenaan diformulasikan oleh dua Universiti terkemuka China iaitu Universiti Jiaotong Beijing dan Univerisiti Jiaotong Southwest.

Kedua-dua universiti itu merupakan rakan latihan teknologi rel untuk CCCC.

Bagi tujuan latihan kemahiran graduan, CCCC akan menaja kewangan berjumlah RM23 juta dibawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat.

Para graduan yang terpilih menjalani latihan itu akan terlibat dalam bidang rekaan dan pembinaan rel selain mengkordinasi kualiti akreditasi dan pendidikan rel national.

Pada majlis itu, MRL diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Darwis Abdul Razak; CCCC diwakili Pengarah Urusan Eksekutifnya, Bai Yin Zhan manakala UMP diwakili Naib Canselornya, Prof.Datuk Dr. Daing Mohd Nasir.

Darwis dalam ucapannya berkata, pihaknya mensasarkan lebih 1,000 pelatih menjelang suku kedua 2018.

“Ia akan membantu kita mencapai angka optimum 3,600 orang graduan terlatih menjelang 2022.

“Malah selain graduan diploma dan ijazah, kita juga membuka penyertaan kepada semua warga Malaysia khususnya dari negeri pantai timur dengan kelayakan minimum SPM dan Sijil Kemahiran Malaysia.

“Kita juga akan memulakan road show bermula minggu depan di IKTBN Bachok pada 8 dan 9 November ini dan Taman Tamadum Islam, Kuala Terengganu pada 14 dan 15 November untuk merekrut pemegang sijil untuk Program PLKI-ECRL,” tambah beliau.

MRL kini dalam proses poengambilan tanah di pantai timur selain selesai mendaftar sub-kontraktor di Kelantan, terengganu, Pahang dan Selangor.

Setakat ini katanya, sebanyak 1,045 permohonan daripada syarikat kejuruteraan dan pembinaan telah diterima untuk projek mega tersebut. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.